Nasional

TNB buat penilaian kerugian menyeluruh selepas banjir pulih

TENAGA Nasional Bhd (TNB) akan membuat penilaian menyeluruh berkenaan kerugian yang dialaminya berikutan banjir yang melanda di empat negeri ketika ini.

Pengerusinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penilaian itu dijangka dilakukan sebaik bencana yang melanda Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor pulih sepenuhnya.

“Kami pernah ada pengalaman pada tahun 2014 apabila banyak aset TNB seperti pencawang elektrik rosak berikutan banjir yang berlaku, jadi dalam tempoh enam tahun sehingga kini banyak perkara yang telah dilakukan untuk mengurangkan kerosakan terhadap aset TNB.

“Kita ambil contoh, tempat letak pencawang elektrik sebelum ini di kawasan tanah rendah tetapi sekarang ia diletak di tempat lebih tinggi. Kalau banjir berlaku sekalipun, ada aset yang selamat,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan pakaian persekolahan kepada pelajar sekolah Padang Terap di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap ditanya pemberita jumlah kerugian yang dialami TNB berikutan banjir yang melanda di negeri berkenaan ketika ini.


Mahdzir berkata selepas penilaian dibuat, TNB akan melakukan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas mendapat bekalan elektrik.

Menjelas lanjut, TNB juga telah mengambil tindakan menutup sementara pencawangnya di kawasan tertentu yang dilanda banjir bagi mengelakkan sebarang isu keselamatan yang boleh membahayakan nyawa penduduk.

“Sekiranya tiada bekalan elektrik di pusat pemindahan sementara, TNB juga menyediakan set jana kuasa mudah alih bagi menyediakan bekalan elektrik di situ,” katanya.

Setakat 8 pagi tadi, sejumlah 43,791 orang dipindahkan ke pusat pemindahan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Perak ekoran bencana itu. – BERNAMA

(Visited 33 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button