Nasional

EMJ serlahkan Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-Warni sebagai destinasi pelancongan

PROGRAM ‘Ekspresi Muzik Jalanan’ (EMJ) 2022 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serlahkan lagi kawasan Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis sebagai sebuah destinasi pelancongan di negeri Perlis yang semakin popular dalam kalangan pelawat dari dalam dan juga luar negeri.

Program sehari suntuk yang diadakan di Dataran Putra, Kampung Hujung Tanjung tersebut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra peserta ‘Program Warna Warni Bahasa’ yang mengecat dinding sebuah rumah penduduk di Kampung Tandiap, Kuala Perlis.

Paling istimewa ialah keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang telah berkenan untuk menyempurnakan perasmian penutupan dan seterusnya mengurniakan hadiah-hadiah kepada para pemenang.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran.

Menurut Abang Sallehuddin, program ini diadakan untuk menarik minat dan kesedaran masyarakat memupuk rasa cinta dan megah akan bahasa kebangsaan, mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemuzik jalanan dari segi penghasilan lirik dan gubahan lagu yang bermutu dalam bahasa Melayu, selain menjalinkan sinergi dengan pelbagai pihak demi memartabatkan bahasa Melayu.


Program yang bermula seawal pukul 8 pagi ini berjaya menarik penyertaan 10 kumpulan pemuzik jalanan dari tiga buah negeri, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Setiap kumpulan hanya perlu mempersembahkan sebuah lagu yang menjadikan keseluruhan 10 lagu yang perlu
dipersembahkan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kiri) bersama kanak-kanak yang menyertai Jejak Bahasa, Pertandingan Mewarna Lukisan dan Kuiz Semarak Bahasa dan Sastera di Dewan KRT, Kampung Tengah, Kuala Perlis.

Sepuluh lagu ini ialah Rindu (Eden), Sujudku (Jiwa Buskers), Malaysiaku Sejahtera (Astronomy Band), Nur Qalbi (J’M’W Buskers), Abadikan Kenangan (D’Syond Buskers), Rintihan Kudus (Pekola Buskers), Kisah Kehidupan (Mask Buskers), Kedamaian Dicari (Black Snake), Aku Datang Ingin Menjagamu (Topeng) dan Keinsafan (Geliga Buskers).

Setiap kumpulan pemuzik jalanan mempersembahkan lagu dan gubahan muzik yang dicipta sendiri, khusus untuk program EMJ dengan tema kekeluargaan dan ketuhanan.

Lagu tersebut belum pernah dipersembahkan dalam mana-mana persembahan mereka sebelum ini.

Kumpulan Pekola Buskers dari Kuala Perlis sendiri muncul sebagai johan pertandingan membawa pulang wang tunai RM3000, manakala naib johan
dimenangi oleh Jiwa Buskers dari Pulau Pinang dan tempat ketiga pula Geliga Buskers dari Kedah.

  • Selain berangkat ke Program EMJ ini, Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa singgah di Dewan KRT, Kampung Tengah untuk menyaksikan ‘Semarak Bahasa Kebangsaan 2022: Indahnya Bahasaku’ yang menampilkan acara pertandingan Jejak Bahasa, Pertandingan Mewarna Lukisan dan Kuiz Semarak Bahasa dan Sastera.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut singgah di lokasi ‘Program Warna Warni Bahasa’ bagi melaksanakan simbolik mengecat dinding sebuah rumah penduduk di Kampung Tandiap sebagai tanda sokongan DBP bagi sama-sama menjayakan lagi projek transformasi diraja yang diinisiatifkan oleh pihak MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis itu.

Baginda juga menyantuni ‘Program Santai Bahasaku’ di Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya dan Jeti LKIM sebelum mengakhiri program dengan beramah mesra bersama para sukarelawan daripada Pasukan Pacuan Empat Roda Malaysia yang turut serta menjayakan program tersebut di Gelanggang Futsal Terbuka Pulau Ketam. – SM

(Visited 118 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button