fbpx
Ekonomi

E-Tunai Rakyat bantu warga Malaysia ke arah transaksi tanpa tunai

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali dan Maizatul Jamni Muhammad Rosli

Program e-Tunai Rakyat yang mengagihkan RM30 kepada setiap orang yang layak melalui e-dompet, pastinya akan menyumbang kepada masyarakat tanpa tunai dan membantu rakyat Malaysia terutamanya dari kumpulan B40 dan M40 membiasakan diri dengan pembayaran elektronik.

Pembayaran tanpa tunai menjadi amalan masyarakat di negara maju dan apabila Malaysia bergerak ke arah itu, rakyat dan peniaga juga perlu mempertimbang kaedah pembayaran tanpa tunai.

Platform bagi pembayaran tanpa tunai telah ada dengan syarikat-syarikat seperti Touch n ´Go (TNG) Sdn Bhd, Boost, Grab dan lain-lain yang menyediakan perkhidmatan e-dompet dan dengan semakin banyak peniaga tempatan di seluruh negara menerima transaksi tanpa tunai, warga Malaysia mendapati bahawa berurusan tanpa tunai tidak begitu sukar.

Bernama meninjau ke pusat beli-belah di sini untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai inisiatif kerajaan program e-Tunai Rakyat dan bagi kebanyakan mereka, e-dompet merupakan suatu yang baru.


Menurut guru sekolah, Nor Sarafina Yusof, 48, inisiatif e-Tunai Rakyat akan menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan e-dompet tetapi memerlukan lebih banyak kempen oleh kerajaan untuk mempromosikannya kepada mereka yang tidak cekap IT.

“Saya tahu ini adalah langkah pertama ke arah masyarakat tanpa tunai yang maju kerana saya mendengar bahawa banyak negara telah beralih kepada kaedah ini, tetapi saya dapati agak sukar untuk mendaftar melalui aplikasi mudah alih. Saya mungkin perlu meminta salah seorang anak saya untuk membantu saya nanti dan bagaimana untuk menuntut RM30.

“Bagaimanapun, saya rasa ia suatu yang baik yang dilaksanakan kerajaan untuk mencari jalan menggalakkan kita menggunakan platform e-dompet ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Peniaga Fakrul Redza, 57, menyambut baik program e-Tunai Rakyat itu tetapi tertanya-tanya sama ada terdapat rancangan kerajaan pada masa depan untuk menggunakan e-dompet sebagai mekanisme untuk menyalurkan bantuan kebajikan kepada kelas bekerja dalam kumpulan B40 atau M40.

“Saya tertanya-tanya apa pendekatan seterusnya untuk inisiatif ini, saya faham ia untuk menggalakkan lebih ramai orang berurusan tanpa tunai, tetapi bagaimana ia boleh digunakan untuk memberi bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan tanpa menunggu lama atau secara fizikal memohon di pusat-pusat kerajaan.

“Saya fikir ia mengambil sedikit masa untuk kita semua menyesuaikan diri dengan cara pembayaran ini, terutama generasi saya yang telah menggunakan tunai sekian lama, tapi ini untuk masa depan,” katanya.

Sementara itu, pengguna e-dompet Boost Fatin Ainur Ramle, 28, tidak mengalami kesukaran semasa menuntut insentif itu dan hanya mengambil masa kurang dari empat jam untuk menerima RM30 pada aplikasinya.

“Mohon pukul 10 pagi, dalam pukul 2 petang dah dapat. Saya guna Boost dan bagi saya ia memudahkan. Walaupun kerajaan cuma beri RM30, itu sudah cukup membantu orang ramai mengenali e-dompet,” kata pegawai bank itu.

Bagaimanapun, Eddie Tee berkata walaupun inisiatif e-Tunai Rakyat itu suatu yang patut dipuji, pelaksanaan program masih kurang dari segi penebusan baucarnya di platform e-dompet.

“Inisiatif yang baik tetapi saya masih tidak dapat mengakses e-dompet Touch n Go saya untuk mendapatkan RM30,” kata promoter jualan berusia 30 tahun, sambil menambah bahawa sistem dalam platform e-dompet negara perlu ditingkatkan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih dipercayai dan cekap.

Sementara itu, sejak pagi semalam, firma pembayaran mudah alih seperti Grab, Boost, dan Touch n ´Go, saling bersaing untuk menarik pengguna memohon program e-Tunai Rakyat menerusi aplikasi mereka, dengan menawarkan pelbagai promosi.

Boost menawarkan hadiah tunai sehingga RM8,888 sebagai sebahagian daripada program “Shake up to RM8,888”, GrabPay menawarkan baucar tunai bernilai sehingga RM3,000 yang boleh digunakan untuk produk tertentu, perkhidmatan serta promosi eksklusif GrabPay.

Touch ´n Go eWallet menawarkan pulangan tunai RM30 serta cabutan bertuah mingguan untuk semua pengguna yang membuat transaksi mulai 15 Jan hingga 10 Mac.

Bukan itu sahaja, syarikat minuman seperti Tealive juga menggunakan program ini sebagai cara untuk menawarkan harga promosi untuk produknya, termasuk menawarkan dua minuman bernilai RM7 setiap satu hanya pada RM10.

Program e-Tunai Rakyat diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2020 sebagai rangsangan digital yang melibatkan kos RM450 juta, bertujuan untuk menggalakkan pengguna serta peniaga tempatan, terutamanya dalam perniagaan kecil dan runcit supaya mengguna pakai e-dompet serta kaedah pembayaran digital. Rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak mendapat bayaran RM30 itu.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button