Politik

Dulu Sibuk Target Pencen Sebab Nak Bayaran, Sekarang Tiba-Tiba Taja Parti Warisan Pula!

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyangkal kenyataan mantan Ketua Bahagian BERSATU Tebrau, Mazlan Bujang yang mendakwa beliau tidak meninggalkan parti itu lebih awal kerana mahu menjaga kestabilan Kerajaan Negeri Johor.

Sebagai anggota dalam barisan Exco Kerajaan Negeri, Mazlan sebenarnya tidak peduli sama ada Kerajaan Negeri Johor ketika itu tumbang atau tidak, kerana yang lebih penting adalah menunggu detik kerajaan negeri dibubarkan bagi membolehkan beliau menerima bayaran pencen sebagai wakil rakyat dan Exco Kerajaan Negeri.

“Itulah yang sering beliau cakap secara terbuka di depan kita (exco) dan Menteri Besar. Pencen… pencen…pencen. Beliau juga pernah memberitahu tidak akan bertanding lagi dalam pilihan raya.”

Namun kenyataan Mazlan yang tidak mahu terlibat dengan pilihan raya hanya omong-omong kosong kerana sikapnya yang oportunis bukan sahaja menjadi Exco kerana mahu mendapat bayaran pencen malah yang terkini sanggup menaja penubuhan Parti Warisan di Johor apabila ada bayaran lumayan.

Kami ingin memberi perumpamaan bahawa tidak hairan beliau juga kemungkinan sedia melakukan perkara sama jika ada pihak lain dari luar negara yang mahu beliau menaja menubuhkan parti di negara ini.

BERSATU menyifatkan tindakan Mazlan yang sanggup membawa masuk sebuah parti tempatan Sabah konon untuk menawarkan perkhidmatan kepada Bangsa Johor, adalah cerminan peribadi beliau yang mementingkan diri sendiri asalkan peruntukan disediakan Warisan adalah ‘lumayan’.

Justeru, Bangsa Johor jangan sekali-kali terpedaya dan peduli dengan tawaran Warisan melalui Mazlan serta kumpulannya kerana misi serta objektif parti tersebut langsung tidak menepati aspirasi mahupun keperluan Bangsa Johor.

BERSATU ingin menarik perhatian, bahawa pembabitan Mazlan dengan Warisan membuktikan beliau tidak lagi mendapat perhatian atau tempat di kalangan pemimpin parti-parti utama walaupun pernah menyatakan sokongan terbuka kepada Barisan Nasional pimpinan Datuk Hasni Mohamad, ketika mengumumkan keluar BERSATU pada 27 Januari lalu.

Mazlan pada tarikh sama turut mengisytiharkan dirinya tidak akan menjadi ahli mana-mana parti tetapi menyokong BN.

Persoalan yang timbul sekarang, kenapa beliau tidak menyerti UMNO dan bagaimana hendak menyatakan perubahan pendiriannya kepada Hasni apabila tidak lagi menyokong Menteri Besar Johor itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini?

Kita tidak tahu sejauh mana ketulenan jiwa dan keikhlasan perjuangan individu seperti Mazlan kepada kepentingan Bangsa Johor sehingga sanggup membawa aspirasi parti tempatan Sabah untuk Bangsa Johor.

BERSATU juga sangsi dengan matlamat dan hala tuju Warisan serta tindakan parti itu untuk bertapak di Johor termasuk melibatkan Mazlan tanpa memeriksa pencapaian politik dan prinsipnya.

Dalam senario ini, matlamat tindakan Mazlan untuk terbabit dengan Warisan mungkin tercapai kalau ia sekadar untuk memuaskan hati atau menunjukkan bantahan kepada BERSATU tetapi tidak ia memberi apa-apa kesan kepada politik serta Bangsa Johor.

Mengimbas sedikit sikap Mazlan sebelum ini, beliau menunjukkan sikap tidak begitu berminat dengan BERSATU selepas tidak menyandang jawatan Pengerusi BERSATU Negeri Johor. Ini dibuktikan apabila beliau tidak menghadiri mesyuarat atau menyertai aktiviti parti selepas itu.

MOHD SOLIHAN BADRI
Ketua Penerangan Perikatan Nasional Negeri Johor
17 Februari 2022

(Visited 487 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button