Nasional

Dua hari 500 mohon bantuan makanan dari YBK melalui WhatsApp

KESUKARAN untuk menyampaikan bantuan makanan kepada golongan terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan PKP Diperketatkan membuatkan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) meneroka cara baharu dan rakan kongsi baharu untuk menyampaikan bantuan.

Dua hari lalu YBK membuka talian WhatsApp 011-56457832 bagi memudahkan keluarga yang terkesan untuk mendapatkan barangan keperluan asas.

Menurut Pengurus Besar YBK Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, pihaknya bekerjasama dengan Majlis Belia Malaysia, Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah untuk memudahkan penyampaian bantuan daripada pemohon yang berada di luar Lembah Kelang.

“Sejak kita buka saluran ini sebanyak 500 mesej untuk memohon bantuan barangan asas.

“Ramai yang memohon ini disebabkan terputus bekalan makanan asas. Ada antara mereka tiada pendapatan kerana diberhentikan kerja, ada yang ditamatkan kontrak, ada yang tidak dapat meneruskan perniagaan. Rakan kita yang terdiri daripada MBM dan MBN akan menjadi pemudah cara menghantar bantuan yang dimohon,” kata Muhammad Sherhan Nizam ketika dihubungi Suara Merdeka.


Beliau berharap kerajaan memudahkan kebenaran untuk badan bukan kerajaan (NGO) bergerak untuk menyampaikan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.

Ketika ini NGO diperlukan untuk mengisi dua jenis borang dan mengambil masa selama tiga hari untuk diluluskan.

Sementara itu YBK telah menghantar bantuan makanan asas kepada kira-kira 2,500 keluarga miskin tegar di lapan buah Program Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sejak 1 Januari lalu selepas PKP 3.0 menyeluruh dikuatkuasakan.

Pemberian Kotak Rezeki Ummat itu merupakan kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction).

Menurut Muhammad Sherhan Nizam, selain bantuan makanan segelintir masyarakat juga memerlukan bimbingan dan kaunseling disebabkan tertekan berikutan berada dalam rumah untuk tempoh yang lama.

“Baru ini YBK ada buat perbincangan dengan Yayasan Bina Kesejahteraan, kita melihat masyarakat memerlukan sokongan dari segi kaunseling.

“Kita cadang untuk membuat kaunseling secara maya dengan mereka yang menghadapi tekanan untuk meluahkan perasaan. Ada kes bunuh diri, kemurungan dan sebagainya. Jadi kita melihat mereka tertekan kerana duduk di rumah terlalu lama.

“Ada golongan M40 yang dahulu berpendapatan RM4900 ke atas kini mendapat kurang daripada itu yang turut menyumbang kepada tekanan. Selain makanan mereka perlukan sokongan dari segi nasihat,” katanya.

Bagi mereka yang mahu menyumbang ke Tabung YBK Prihatin COVID-19 boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Yayasan Basmi Kemiskinan bernombor 5623 5711 1700.-SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button