fbpx
Hiburan

DJ gelakkan bahasa Inggeris guru letak jawatan

Muhammad Yusuf Shukri atau DJ Yusuf yang mengundang kontroversi selepas mentertawakan penguasaan bahasa Inggeris seorang guru telah meletakkan jawatan.

Menurut Hitz Sarawak, peletakan jawatan DJ Yusuf berkuat kuasa semalam selepas siasatan dalaman mengenai isu yang menjadi kegemparan di seluruh negara itu.

Stesen radio Hitz Sarawak mengesahkan mereka telah menerima peletakan jawatan penyampai radio itu susulan kontroversi video beliau mempersenda cara guru wanita terbabit di media sosial TikTok.

“Hitz Sarawak kekal komited bagi memastikan rakyat Malaysia menerima maklumat dan terhibur.

“Susulan siasatan dalaman berkaitan kontroversi baru-baru ini membabitkan salah seorang penyampai radio di stesen ini, kami menerima peletakan jawatannya.


“Peletakan jawatan itu berkuat kuasa 22 Februari,” kata stesen radio terbabit.

Hitz Sarawak dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 19 Februari lalu telah mengantung tugasan Yusuf serta-merta selepas tindakannya itu mengundang kecaman pelbagai pihak.

Yusuf, 29, memuat naik video di TikTok kelihatan ketawa berdekah-dekah terhadap guru yang mengajar di DidikTV.

Beliau kemudiannya telah memadamkan video tersebut setelah dikecam dengan teruk oleh warganet di pelbagai platform media sosial termasuk Twitter dan Facebook.

Selepas dia digantung tugas, Yusuf menerusi video di Instagram TV meminta bantuan secara terbuka supaya dia dapat dihubungkan dengan guru terbabit bagi membolehkannya memohon maaf.

“Perkara pertama adalah saya dengan seikhlas hati memohon maaf kerana mempersenda guru terbabit. Ia langsung tidak lucu dan saya tak boleh menjadikan ini sebagai alasan untuk membenarkan sesuatu sikap buruk.

“Ia satu sikap saya yang amat biadab dan untuk itu saya mahu memohon maaf secara peribadi kepada dia dan keluarganya.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua guru-guru yang tersinggung selepas menonton video yang saya hasilkan,” katanya.-SM

(Visited 299 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button