Mahkamah

Dipenjara sehari kerana curi perkakas dapur IKEA RM515.30

GARA-gara mencuri barang berharga RM515.30 di IKEA seorang penyelia kapal dihukum penjara sehari dan denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah.

Majistret Mohamed Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Saadah Mat Husin @ Mat Husain, 36, dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa mencuri pelbagai perkakas dapur antaranya pisau, garpu, sudu dan cawan yang kesemuanya bernilai RM515.30 milik syarikat IKEA.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di IKEA Cheras, Jalan Cochrane di sini pada pukul 11.10 pagi,  24 Ogos  mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran tetapi  peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili Saadah memohon hukuman ringan dengan alasan itu kesalahan pertama anak guamnya.

“Tertuduh juga adalah seorang ibu kepada empat orang anak dan suaminya adalah pemandu Grab,” kata peguam itu.

Bernama melaporkan, mengikut fakta kes pada hari kejadian, tertuduh telah ditahan oleh pengawal keselamatan di pusat beli-belah itu selepas gagal membuat pembayaran terhadap 16 barang dalam beg hitam yang diletakkan dalam troli dan dia kemudiannya ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, seorang mekanik Muhamad Firdaus Muhammad Shafiee, 24, didenda RM1,000  atau penjara sebulan oleh Majistret Wong Chai Sia selepas mengaku bersalah menyamar  sebagai anggota polis Jumaat lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju, di sini pada 5.06 petang, 21 Ogos lepas mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala Muhamad Firdaus yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan isterinya sedang mengandung.

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button