MahkamahNasional

Kes Zahid Hamidi: Bekas SUB KDN terima 26,000 Riyal daripad Pengarah UKSB

SAKSI pendakwaan ke-10 kes rasuah melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Shahril Ismail mengakui menerima wang tunai seperti tercatat dalam buku ‘faraid’ milik Pengarah syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB).

Shahril yang juga bekas Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam keterangan kepada Mahkamah Tinggi hari ini berkata, beliau menerima tunai dalam mata wang Arab Saudi daripada Pengarah UKSB, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani yang dikenali sebagai ‘Wan Badak’ sebanyak 26,000 Riyal.

Perkara itu diberitahu selepas disoal peguam yang mewakili Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainol di hadapan Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa ketika Shahril pergi ke Arab Saudi pada 2015 sewaktu beliau masih bertugas di KDN.

“Ada atau tidak Datuk (Shahril) pernah menerima apa-apa ganjaran daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) atau UKSB?” soal Ahmad Zaidi.

Shahril bagaimanapun mengaku berada di negara berkenaan pada tahun 2015 untuk menunaikan umrah.

Menurut Ahmad Zaidi, soalan tersebut ditanya selepas terdapat catatan pada buku ‘faraid’ yang merekodkan pembayaran kepada pihak terentu yang disifatkannya sebagai nama-nama ‘besar’ termasuk Menteri Kesihatan sekarang, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ahmad Zaidi: Ada atau tidak Wan Quoris Shah memberi 26,000 Riyal kepada Datuk?

Shahril: Ada tetapi untuk ditukar kepada duit Malaysia (Ringgit).

Malah, Shahril bersetuju dengan Ahmad Zaidi menerima RM14,000 lagi daripada orang yang sama sebelum menafikan beberapa transaksi berjumlah antara RM19,000 hingga RM28,000 menerusi minit dicatatkan dalam surat daripada UKSB kepada KDN, namun tarikh minit ceraian tersebut didapati selari dengan buku faraid.

Selain itu, Shahril turut mengakui terdapat nama Khairy Jamaluddin bersama perkataan RM100,000 pada catatan daripada Wan Qurois Shah dalam buku tersebut.

Ahmad Zaidi: Ada lagi nama-nama besar, di muka surat 8 pada Mei 2018, RM50,000 dan RM100,000 diberikan kepada KJ (Khairy Jamaluddin) Menteri Kesihatan sekarang?

Shahril: Ya.

Ahmad Zaidi: Dalam buku tersebut turut dinyatakan pemberian sebanyak 70,000 Dolar Singapura kepada FM? FM merujuk kepada Foreign Minister.

Shahril: Saya tidak pasti

Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah 13.56 juta Dolar Singapura daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai 1,150,000 Dolar Singapura, RM3 juta, 15,000 Euro dan 15,000 Dolar Amerika Syarikat tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.

Sementara itu, peguam bagi pasukan pendakwaan, Datuk Raja Rozelah Raja Toran ketika pemeriksaan balas saksi pendakwaan meminta Shahril menjelaskan tujuan 26,000 Riyal diberikan kepadanya ketika bertemu Wan Qurois Shah di Arab Saudi.

Bagaimanapun, Shahril memaklumkan wang tersebut adalah sebagai tukar ganti kepada Ringgit Malaysia untuk beliau pergi menunaikan umrah.

“Saya dipanggil oleh seorang bekas pegawai KDN dan beliau ada di situ sekali dengan Wan Quoris sebab masa itu memang saya hendak pergi umrah,” katanya.

Shahril: Jadi dia kata “Datuk, saya ada Riyal, kalau hendak, saya ada bawa untuk tukar.” Sebelum pergi umrah.

Raja Rozelah: Jadi Datuk ada menerima?

Shahril: Ada

Raja Rozelah: Untuk apa Datuk menerima wang tunai 26,000 Riyal ini?

Shahril: Sebab saya hendak pergi umrah masa itu dan dia beritahu ada duit Riyal sedikit ketika berjumpa dengan saya.

Raja Rozelah: Datuk saya kurang jelas, Datuk kata dia beri 26,000 Riyal untuk tukar.

Shahril: Ya untuk tukar, masa itu saya dapat tukar. Memang saya ada bawa duit cash sekali, lepas itu dia minta tukar katanya ada baki duit Riyal, untuk tujuan pertukaran. Tetapi dia tak ambil.

Shahril: Saya ada bawa duit tunai, dia ada 26,000 Riyal untuk ditukar tetapi saya ada RM10,000. Jadi dia tak mahu terima.

Dalam pada itu, Shahril menafikan duit tersebut mempunyai kaitan dengan kontrak-kontrak antara UKSB dengan KDN berhubung projek VLN apabila menjelaskan beliau baharu bertugas di kementerian tersebut pada 2014.

Jelasnya lagi, sebelum menerimanya beliau menjalani kursus selama sebulan di UKAS dan memasuki KDN ketika projek sistem VLN sedang berjalan

Perbicaraan kemudian bersambung pada 10 Mei depan. –UTUSAN – SM

(Visited 501 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button