fbpx
Belang Bertempat

Dilema agihan kerusi, logo hantui Perikatan Nasional

TIDAK dapat dielakkan. Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) hampir pasti dijalankan sebelum tahun ini berakhir.

Kalau paling lewat pun sebelum pertengahan tahun depan, kata sumber yang layak dipercayai kepada Belang baru-baru ini.

Barisan Nasional (BN) dikatakan sudah bersedia. Sedang menyelesaikan urusan-urusan yang perlu.

Adakah di peringkat Perikatan Nasional (PN), sama ada datang dari Muafakat Nasional (UMNO-PAS), BERSATU, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan BN Sabah sudah bersedia? Kalau PN telah didaftarkan, apa muktamadnya?


Jika bertanding dalam PRU-15, gabungan tersebut akan pakai lambang atau logo apa?

Persoalannya jika lambang PN jadi pilihan, siapa yang kenal?

Di Sarawak, GPS sendiri masih teraba-raba dalam memperkenalkan identiti mereka. Logo GPS berlambangkan Burung Kenyalang siapa yang kenal berbanding BN Sarawak?

Dikatakan, lambang Kenyalang tak berapa laku digunakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dalam menghadapi pilihan raya negeri ke-12 yang akan berlangsung sebelum Mei 2021.

Dalil lima pilihan raya kecil (PRK) terakhir yang dimenangi oleh MN (UMNO-PAS) di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis suatu bukti terang lagi bersuluh bahawa BN tidak sahaja mengatasi lawannya, tetapi lebih dari itu, menang bergaya.

Kemenangan BN di PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 contohnya digambarkan bukan sahaja mencerrminkan kekuatan MN semata-mata, tetapi bukti MN telah terlajak laris diterima oleh masyarakat semua kaum. Calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng menang besar dengan majoriti 15,086 undi berbanding kekalahannya berjumlah 524 undi dalam PRU-14.

Suatu ketika seorang pemimpin dalam MN mengingatkan pucuk pimpinan UMNO untuk apa BN meletakkan calon bertanding di Tanjung Piai? Tapi sudah terbukti hasilnya, MN menang 25 kali ganda. Ia bukti jelas rakyat undi lambang BN.

Meskipun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada approval rating sekitar 78 peratus dari keupayaan membendung penularan Covid-19, penyokongnya atau ahli BERSATU tak boleh `berkepak’.

 

Pengiktirafan buat presiden BERSATU itu untuk dirinya (Muhyiddin) sahaja. Tetapi bukan untuk keseluruhan BERSATU. Tidak ada apa yang menakjubkan untuk parti.

Adakah PN dengan menggunakan lambang parti masing-masing masih mampu mengelakkan pertandingan tiga penjuru – pertembungan sesama sendiri UMNO-PAS-BERSATU?

Katakanlah kerusi Parlimen Larut, orang UMNO barangkali tidak mahu Datuk Seri Hamzah Zainuddin diletakkan sebagai calon di situ. Katakan PN letak calon Bebas, sentimennya bagaimana? Di Mersing, BERSATU pula dipercayai tak mahu Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad, jadi macam mana?

Sebelum ini, PAS cakap mereka selesa dengan BERSATU tetapi bila sudah berasa dipergunakan, parti itu tersedar. Kini PAS cukup selesa dengan UMNO.

MN ikhlas dalam membentuk kerajaan hari ini. UMNO-PAS bukan nak duit `depa’, kata sumber.

Dulu masa PRU-14, UMNO bertanding 120 kerusi, menang 54. Akan datang ini UMNO-PAS dipercayai akan membentuk kerajaan Melayu-Islam. Untuk itu UMNO kena bersatu. Penyediaan penyatuan ke arah itu sedang berlaku.

Dengan pemilihan UMNO perlu dilaksanakan selewat-lewtnya Disember tahun depan, tahun 2021 juga berhadapan cabaran ekonomi yang kian memburuk.

Dari risikan Belang, UMNO-PAS menaruh keyakinan tinggi PN akan mencipta kemenangan dalam PRU-15. Kajian empirikal menunjukkan jumlah undi gabungan UMNO-Pas yang bakal diperoleh. Persaingan di kerusi Parlimen Pokok Sena kawasan Datuk Mahfuz Omar misalnya, berdasarkan keputusan semasa PRU-14, cantuman undi diraih calon UMNO dan PAS mencapai 41,791 undi berbanding PH, 28,959 undi.

Di Titiwangsa, cantuman undi UMNO-Pas memperoleh 26,546 undi berbanding PH, 23,840. Majoriti undi diraih MN adalah 2,706.

Senario hari ini sudah berubah. Dulu orang UMNO ada yang tidak keluar mengundi. Jangan dilupakan pengundi 21 tahun ke atas yang pertama kali mengundi. Kohort 1.75 juta setiap tahun. Hari ini terdapat 3.5 juta pengundi baharu – 21 tahun ke atas.

Dengan pakej Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang memberi manfaat kepada semua, Belang yakin pengundi muda 21 tahun ke atas yang dikatakan anti establisment kini lebih selesa dengan kerajaan.

Apatah lagi, pengundi luar bandar fragile. Pengundi kategori ini duduk di bandar tetapi mengundi misalnya di Taiping. Pemikiran bandar. Kategori ini meliputi 67.5 peratus.

Isu yang berlaku di bandar mempengaruhi pengundi luar bandar. Contohnya Semenyih, Kuala Langat, Sepang dan Dengkil.

Persoalannya, mana satu lebih baik, PN atau MN kah? Lambang manakah pula pilihan PN untuk digunakan berdepan PH dalam PRU-15?

Terserah. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button