Politik

‘Dedahkan siapa dapat nikmat istimewa rundingan terus RM6.61 bilion’

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mendesak agar Menteri Kewangan mendedahkan syarikat dan pihak yang mendapat nikmat istimewa 101 projek melalui rundingan terus bernilai RM6.61 bilion.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, projek rundingan terus dibenar namun cara ia didedahkan seolah-olah satu kesalahan telah berlaku.

Dr. Mahathir berkata, pendedahan oleh Menteri Kewangan semalam menimbulkan banyak persoalan daripada rakyat dan mereka berhak mendapatkan maklumat penuh mengenai projek berkenaan.

“Memang projek rundingan terus dibenar tetapi pendedahannya dibuat seolah-olah ia tidak dibenar dan satu kesalahan telah berlaku.

“Ini semua menimbul banyak persoalan dalam kalangan rakyat dan rakyat berhak mendapat maklumat penuh tentang siapa yang dapat, projek yang mana, di mana nilai-nilai projek ini.


“Supaya kita dapat tentukan siapa yang mendapat nikmat istimewa ini. Ini perlu didedahkan kepada rakyat,” kata Dr. Mahathir dalam video ringkas yang dikongsi di media sosialnya.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz memberitahu Dewan Rakyat semalam sebanyak 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion diluluskan secara rundingan terus ketika pentadbiran negara diterajui Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Pendedahan itu menimbulkan kegemparan di dalam Dewan Rakyat.

Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 Buku Harapan Janji 23, menyatakan akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.

“Janji 23: Memastikan sistem perolehan kerajaan menjana faedah maksimum untuk wang rakyat:

“Untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan Pakatan Harapan akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat.

“Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.”

Dalam penjelasnya, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Kabinet mengetahui projek-projek yang diluluskan melalui rundingan terus tersebut.

“Saya terbuka sekiranya YB nak berikan senarai itu tender-tender yang diberikan, itu bukan diberikan secara terbuka.

“Kalau kita lihat jumlah yang diberikan, secara tender terbuka jauh lebih besar dan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang berhormat sebutkan tadi. Seperti yang disebutkan tadi, Ini juga diberikan di bawah kelulusan Kabinet dan juga peraturan yang sedia ada,” kata Guan Eng.

Bagaimanapun bekas Menteri Ekonomi ketika era pentabiran Kerajaan PH Datuk Seri Azmin Ali menafikan kenyataan Guan Eng yang merupakan bekas Menteri Kewangan kononya Kabinet mengetahui mengenai senarai syarikat yang mendapat  101 projek bernilai RM6.61 bilion itu.

“Dan tidak betul YB Bagan kata Kabinet tahu. Mana ada pembentangan senarai-senarai itu. YB Bagan tidak pernah bentangkan senarai projek dalam Kabinet,” tegas Azmin.-SM

SM

(Visited 55 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button