Nasional

Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik Ketua Pengarah JAKIM

Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baharu.

Mengumumkan pelantikan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Abdul Aziz menggantikan Datuk Paimuzi Yahya yang meninggal dunia pada 8 Oktober lalu.

“Abdul Aziz dipilih berdasarkan pengalaman luas selama 34 tahun berkhidmat di JAKIM dan mempunyai integriti tinggi dengan rekod bersih dan cemerlang.

“Beliau menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM dan amat disenangi rakan strategik utama JAKIM dalam kalangan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan juga warga JAKIM.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1985 dan mempunyai Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama daripada Muslim College, London pada tahun 2003,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli, antara jawatan penting yang pernah disandang Abdul Aziz adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2018 hingga 2020, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) (2017 – 2018), Pengarah JAKIM Cawangan Sarawak (2013 – 2017 dan Atase Agama, Bahagian Agama, Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta, Indonesia (2009 – 2013).

“Dengan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia, kerajaan yakin beliau mampu menerajui JAKIM sebagai Agensi Hal Ehwal Islam peringkat Persekutuan.

“Ini bagi menjunjung Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Shah sempena pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14.

“Baginda mahu kerajaan mewujudkan pentadbiran agama Islam yang inklusif, progresif, membentuk hubungan etnik dan agama yang harmoni, menyantuni kemanusiaan dan peradaban ke arah kesejahteraan sejagat” katanya.

Zulkifli turut mewakili pihak kerajaan menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada keluarga Allahyarham Paimuzi atas jasa dan sumbangan cemerlang beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam semasa hayatnya.

(Visited 399 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button