Nasional

Rasuah, politik, dan keselamatan nasional

Oleh Ruhanie Ahmad

Pada tahun 2018, kuasa undi rakyat Malaysia digerakkan untuk meruntuhkan Kerajaan BN dan menyingkirkan pemimpin negara yang didakwa sebagai pengamal rasuah dan penyalahguna kuasa tahap tertinggi.

Oleh itu, kejatuhan BN disifatkan sebagai satu takdir Allah untuk membersihkan Malaysia dari gejala rasuah yang kian mengancam kedaulatan negara dan keselamatan nasional.

Hakikatnya demikian kerana rasuah di Malaysia kian bermaharajalela di kalangan segelintir penjawat awam dan elit politik.

Ini juga disebabkan rasuah sistemik kini menjadi senjata utama penjenayah terancang antarabangsa untuk mencemarkan kedaulatan Malaysia dan mengancam keselamatan nasionalnya.


Akibat rasuah, kuasa politik Melayu digunakan oleh sesetengah pengamalnya untuk memenuhi kepentingan diri. Ini menyebabkan keselamatan politik Melayu-Muslim diancam perbalahan dan digugat perpecahan.

Ruhanie Ahmad

Rasuah menjadikan sekumpulan pegawai penguatkuasa Malaysia tunduk dan menggadaikan jiwa bangsanya kepada kartel dadah antarabangsa untuk menyeludupkan dadah jutaan ringgit ke negara ini bagi memusnahkan hidup anak-anak Melayu khususnya.

Rasuah membolehkan dokumen pengenalan diri, seperti pasport dan kad pengenalan, dibeli oleh warga asing yang cuba menjadi rakyat Malaysia ikut jalan pintas, walaupun ini menjejaskan keselamatan nasional kedaulatan negara.

Rasuah menyebabkan segelintir pegawai awam menjadikan Malaysia syurga scammer dan sindiket judi atas talian.

Rasuah mendorong beberapa kerat pegawai awam menyebabkan umat Muslim Malaysia dipercayai termakan daging haram sejak bertahun lamanya.

Rasuah menyebabkan pegawai awam bersubahat dengan sindiket pemerdagangan manusia.

Rasuah juga pernah diberitakan sebagai penyebab segelintir pentadbir undang-undang membebaskan pihak yang mungkar daripada hukuman mahkamah.

Senarai kes rasuah di Malaysia terlalu panjang untuk dijadikan bukti empirikal dalam tulisan ini. Namun amat mengecewakan kerana gerakan anti-rasuah yang dimandatkan oleh kuasa undi rakyat dalam PRU14, kini kelihatannya sedang cuba digagalkan oleh segelintir pemimpin politik tertentu.

Golongan ini dikatakan berusaha untuk menggunakan kuasa politik akar umbi partinya bagi menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berusaha memerangi rasuah demi keselamatan nasional dan kedaulatan negara.

Gerakan pro-rasuah dan pendewa individu yang dikaitkan dengan tuduhan rasuah ini dikatakan sedang dilaksanakan melalui desakan supaya PRU15 diadakan dengan seberapa segera, walaupun wabak Covid-19 sedang mengganas membaham mangsa.

Ini bermakna gerakan anti-rasuah yang diperkasakan di Malaysia menerusi kuasa undi PRU14 sedang cuba dikhianati oleh puak yang seolah-olah pendewa rasuah.

Rakyat Malaysia perlu kuatkan semangat untuk memerangi kelompok ini. Gunakan kuasa undi kita dalam PRU15 kelak untuk menumpaskan anasir ini.

(Datuk Dr Ruhanie Ahmad, mantan Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor (1990-2004) adalah penganalisis keselamatan dan pertahanan nasional)

(Visited 70 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button