Bola SepakSukan

Thiago akhirnya jadi milik Liverpool

THIAGO Alcantara bakal diperkenalkan kepada umum, hari ini, selepas Liverpool bersetuju dengan perjanjian bernilai 20 juta pound (RM107 juta) untuk pemenang Liga Juara-Juara itu.

Pemain tengah itu sudahpun mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya di Bayern Munich dalam satu majlis penuh emosi di pangkalan latihan kelab, semalam, dengan bos, Hansi Flick mengucapkan tahniah kepada Reds di atas kejayaan mereka mendapatkan tandatangan pemain yang dianggapnya sebagai luar biasa.

Meskipun Bayern telahpun membuat pengumuman, dengan Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge menjelaskan bahawa pemain itu menyimpan hajat melakukan sesuatu yang baru sebelum kariernya berakhir, tetapi pengurusan Reds enggan mengesahkan ketibaan Thiago di England.

Bagaimanapun, difahamkan pemain antarabangsa Sepanyol itu akan tiba ke Merseyside pada Khamis malam (awal pagi Jumaat waktu Malaysia), bagi melengkapkan pemeriksaan kesihatan buat kali kedua, dan memuktamadkan terma kontrak selama empat tahun.

Flick berkata, Liverpool berjaya mendapatkan seorang pemain yang melakukan sumbangan besar kepada kejayaan Bayern.

Selepas beberapa bulan enggan memenuhi tuntutan Bayern yang bersedia melepaskan pemain berusia 29 tahun itu yang berada pada tahun terakhir kontraknya dengan harga 30 juta euro (RM146 juta), Liverpool akhirnya bersedia bertolak ansur menerusi struktur perjanjian yang menjanjikan yuran lebih rendah.

Mereka akan membayar 20 juta pound, dengan tambahan 5 juta pound (RM127 juta) bergantung kepada bonus yang bakal diterima pemain sekiranya kelab berjaya dalam Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris, tetapi dengan syarat Thiago perlu memainkan peranan penting kepada pencapaian tersebut.

Bayaran tambahan juga akan dibuat bergantung kepada pencapaian individu, seperti memenangi anugerah Ballon d’Or atau Pemain Terbaik Liga Perdana.

Apa yang lebih penting untuk pemilik Liverpool, yang terpaksa berhati-hati dalam pasaran perpindahan ekoran landskap kewangan ekonomi bola sepak yang tidak menentu disebabkan krisis coronavirus, mereka hanya bersedia membuat bayaran secara ansuran sepanjang tempoh perjanjian selama empat tahun.

Ini bermakna untuk bayaran awal bagi tahun ini akan melibatkan kira-kira hanya 5 juta pound, dengan selebihnya dibayar menerusi kenaikan tahunan bergantung pada sasaran bonus.

Thiago telahpun memberi persetujuan awal dengan perjanjian selama empat tahun, yang bakal menyaksikannya berada di belakang Virgil van Dijk dan Mohamed Salah selaku pemain yang menerima bayang paling tinggi di Anfield.

Liverpool menjangkakan Thiago bakal melengkapkan peringkat terakhir pemeriksaan kesihatan pada Jumaat dengan doktor pasukan, dan kemudian akan diperkenalkan kepada umum sebelum hujung minggu.

Bagaimanapun, Thiago tidak sempat untuk menjadi sebahagian daripada skuad Jurgen Klopp menentang Chelsea, Ahad ini, tetapi dia mungkin berpeluang diturunkan dalam perlawanan Piala EFL menentang kelab bawahan, Lincoln City, Jumaat ini. – Mirror UK – SM

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button