fbpx
Nasional

Asyraf Wajdi percaya empat hotel TH ditutup bukan kerana rugi

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjelaskan kenapa empat hotel milik Kumpulan TH Hotel and Residence Sdn. Bhd. (THHR) ditutup.

Asyraf Wajdi percaya keputusan untuk menghentikan operasi dan membuang pekerja di empat hotel tersebut bukanlah kerana hotel terlibat dalam kerugian.

Sebaliknya, Asyraf Wajdi mendakwa penutupan tersebut disebabkan pemilikan bangunan-bangunan berkenaan telah dipindahkan daripada Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Kementerian Kewangan.

“Pemindahan milik bangunan hotel-hotel kepada syarikat lain sepatutnya bukanlah alasan kenapa hotel-hotel itu terpaksa ditutup.

“Melainkan syarikat milik Kementerian Kewangan sudah ada rancangan untuk menjual bangunan-bangunan tersebut kepada pihak lain yang mungkin akan memulakan operasi hotel mereka sendiri. Harap Menteri Haji atau Menteri Kewangan dapat menjelaskan!” gesa Asyraf Wajdi.


Menurut Asyraf Wajdi, berita penutupan empat hotel milik anak syarikat Tabung Haji bermula April ini sangat menyediahkan.

“Sepengetahuan saya, keempat-empat hotel ini adalah popular kepada pengunjung sejak dibuka tujuh tahun dahulu.

“Rating keempat-empat hotel dari ribuan pelanggan dalam laman web Agoda serta Trivago juga adalah tinggi dengan kebanyakan rating pada tahap “Very Good” atau “Excellent,” kata Asyraf Wajdi.

Menurut surat pekeliling yang tular di media sosial empat hotel berkenaan melibatkan TH Hotel Kinabalu, TH Hotel Penang, TH Hotel and Convention Center Alor Setar dan TH Hotel and Convention Center Terengganu.

Pekerja yang telah dikenalpasti sebagai berlebihan akan diberhentikan melalui skim penamatan pekerjaan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Utusan Kumpulan THHR, Zulkefli Ahmad berkata, penamatan operasi dan perkhimatan itu merupakan satu keputusan yang tidak dapat dielakkan.

Ini memandangkan operasi pengurusan hotel-hotel yang terlibat tersebut akan diambilalih oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd.

Bangunan hotel-hotel yang terlibat juga telah dipindah milik daripada Lembaga Tabung Haji kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. di bawah Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Lembaga Tabung Haji.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button