Berita

Raja Muda Perlis saran sektor pertanian dikomersialkan

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sektor pertanian hendaklah secara terus menerus ditransformasikan, dipermantap serta dipertingkatkan tahap daya tahan, juga harus kekal berdaya saing.

Menurut baginda, skala pertanian bersifat “cukup makan” sahaja tidak lagi mencukupi dan perlulah diubah menjadi skala pertanian bercorak komersial yang dapat menjamin pulangan yang lebih tinggi kepada petani yang terbabit.

“Peningkatan tahap produktiviti di semua sektor, kegiatan penyelidikan berkaitan kaedah pengurusan pertanian yang baik serta penggunaan alat jentera termaju di ladang-ladang hendaklah diberi perhatian yang serius ke arah mewujudkan sistem perladangan tepat atau ‘precision farming’, titah baginda.

“Melalui kaedah ini, kita juga bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengeluaran pertanian, tetapi apa yang lebih penting ialah dapat meningkatkan pendapatan para petani, penternak dan juga nelayan”.

“Lihatlah bagaimana negara jiran kita Thailand sebagai contoh dapat menukarkan tanah-tanah mereka yang tidak diusahakan menjadi tanah yang lebih subur dan produktif, titah baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM11,200 kepada seramai 28 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Amin Sempering sempena program ‘Hijrah Minda MAIPs bilangan pertama bagi tahun 2022’. Setiap seorang daripada mereka akan menerima RM400 setiap seorang yang akan diagihkan oleh amilnya, Senawi Saad.

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Terdahulu daripada itu baginda turut berkenan singgah menyantuni rumah asnaf Moi Fittriani Mursal 52 tahun yang baru sahaja kehilangan suami yang meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Beliau yang merupakan penerima ‘Bantuan Fitrah MAIPs’ tinggal bersama dua orang anaknya yang masih bersekolah.

(Visited 215 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button