fbpx
Politik

DAP tinggalkan PH: Kor Ming dakwa laporan Malaysiakini tidak tepat

LAPORAN Malaysiakini tidak tepat.

Itu penafian Timbalan Ketua Setiausaha DAP Nga Kor Ming berhubung laporan portal berita itu kononnya beliau berkata, DAP akan keluar dari kerajaan jika  Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak diktiraf.

Menurut Kor Ming, Malaysiakini tidak pernah melakukan temubual bersamanya. Sebaliknya laporan portal itu yang bertajuk ‘Nga: DAP keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf’ hanya memetik sebahagian kecil daripada temubual yang dibuat bersama  portal berbahasa Cina, Oriental Daily.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata, beliau telahpun membuat aduan terhadap pengarang Malaysiakini dan membetulkan kesalahan yang dibuat.

“Laporan berita ini adalah tidak tepat. @mkini_bm tidak pernah ada wawancara dengan saya tetapi mereka hanya petik sebahagian wawancara Oreintal Daily kemudian terbit dalam portal mereka.


“Untuk makluman, wawancara saya dengan @ODMMalaysia adalah focus kepada reformasi Perlimen,” kata Kor Ming pada bebenang Twitter Malaysiakini yang mempromosikan berita tersebut.

Malaysiakini hari ini melaporkan Kor Ming berkata, DAP akan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan jika Putrajaya tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

“Kita malah capai kesepakatan bahawa bahawa DAP tidak akan teragak-agak keluar dari kerajaan jika UEC tidak diiktiraf.

“Tidak kisah jika kita tiada lagi dalam gabungan parti pemerintah. Ini prinsip yang kita pegang,” kata Kor Ming kepada Oriental Daily. Sebahagian daripada video wawancara itu dimuat naik portal tersebut.

BACA ARTIKEL: DAP akan keluar PH jika UEC tidak diiktiraf, kata Kor Ming

PH, terutamanya DAP, dihentam masyarakat dan parti Cina atas alasan lambat dalam usaha memastikan kerajaan mengiktiraf UEC, seperti dinyatakan dalam manifesto 2018 PH. Selain isu UEC, DAP juga dikritik tidak bersuara dalam banyak itu.

“DAP tak diam selepas jadi sebahagian daripada kerajaan. (Sebaliknya) kita lebih berani bercakap, sekarang kita ada saluran kerajaan dan ini boleh dilihat dalam mesyuarat kabinet, kata Kor Ming.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu mengaku kecewa kerana kejayaan DAP dan PH tidak dihargai masyarakat awam.

UEC merupakan Sijil Peperiksaan Bersama yang diwujudkan oleh Dong Jio Zong atau Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina sejak tahun 1975 dan digunakan di Sekolah Persendirian Cina di Malaysia.

Silibus atau mata pelajaran UEC didakwa berasal sepenuhnya dari Taiwan dan dikelolakan oleh Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Terdapat tiga tahap dalam UEC iaitu vokasional (UEC-V), junior (UEC-JML/JUEC) dan senior (UEC-SML/SUEC). Bahasa Cina merupakan bahasa pengantar bagi kurikulum dan peperiksaan bagi UEC-V dan UEC-JML

Pakatan Harapan pada PRU-14 melalui manifesto PRU-14 Janji 50: Mengembalikan Wibawa University Awam dan Pengajian Tinggi, mahu mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki isntitusi-institusi pengajian tinggi awam dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajran Bahasa Melayu peringkat SPM.

BACA ARTIKEL: UEC: Kor Ming didesak tarik balik ugutan terhadap kerajaan

Pada 2 Januari lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, beliau akan kehilangan kepercayaan pengundi jika kerajaan tidak dapat mengotakan janji dalam manifesto untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Nie Ching berkata, keadaan itu juga bermakna beliau boleh “henti bekerja dan balik ke rumah” jika UEC tidak diiktiraf.

Nie Ching juga meminta diberi lebih banyak masa selain memohon kesabaran orang ramai dalam soal itu terutamanya kerana pengendalian isu iu tidak menepati jangkaan pihak berkenaan.

Beliau dipetik Nanyang Siang Pau sebagai berkata demikian dalam satu sesi dialog mengenai Bajet 2020 anjuran DAP cawangan Selayang Jaya.-SM

 

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button