Politik

Kejayaan DAP dibayangi kegagalan Warisan Plus – Guan Eng

DAP menyifatkan kejayaan parti itu yang telah menunjukkan prestasi yang meyakinkan selepas memenangi enam daripada tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah dibayangi oleh kegagalan Warisan Plus untuk memenangi majoriti kerusi yang dipertandingkan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ramai yang berasa sedih dan buntu kerana kempen pilihan raya Warisan Plus yang didakwa penuh dengan idealisme dan aspirasi tidak mencapai matlamat.

“Kami percaya bahawa Datuk Seri Shafie Apdal dan mesej perpaduan beliau masih merupakan yang paling sesuai untuk Sabah yang terkenal dengan keharmonian kaum dan persefahaman agama.

“Kita perlu terus menjunjung obor perpaduan untuk menyinari masa depan demi anak-anak kita,” kata Guan Eng.

Pada PRN Sabah semalam calon-calon DAP bertanding di bawah logo parti Warisan.

Di DUN Luyang, calonnya memperoleh 15,510 undi daripada 17,127 pengundi yang keluar mengundi.

Di DUN Kapayang, DAP turut memperolehi undi terbesar iaitu 15,052 daripada 19,447 pengundi.

Di DUN Likas 8,173 undi daripada 9,467 pengundi; di DUN Tanjung Papat 5,900 undi daripada 8,676 pengundi; di DUN Sri Tanjung 11,150 undi daripada 14,559 pengundi dan di DUN Elopura 10,871 undi daripada 14,769 pengundi.

DAP hanya kalah di DUN Bingkor dengan calonnya hanya memperoleh 2,517 undi daripada 11,771 pengundi.

“Kami dengan rasa terhutang budi, berterima kasih kepada pengundi dan penyokong di Luyang, Kapayan, Likas, Tanjung Papat, Sri Tanjung dan Elopura yang telah memberikan majoriti tambahan kepada kami.

“Bagi kegagalan kami di Bingkor pula, kami akan meneruskan usaha untuk berkhidmat demi membuktikan keikhlasan kami kepada penduduk setempat di sana” kata Guan Eng.

Menurutnya, perjalanan DAP tidak boleh terhenti serta tidak boleh berputus asa dan menyerah kalah.

Katanya, DAP mesti terus membina sebuah negeri dan negara yang lebih baik demi semua rakyat Sabah dan rakyat Malaysia.

Pada PRN Sabah semalam parti-parti dalam Warisan Plus berjaya di 32 DUN namun tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah yang menang di 38 DUN.-SM

 

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button