Nasional

CUEPACS mahu COLA gred 41 dinaikkan RM50

KERAJAAN diminta untuk menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 bagi kakitangan kerajaan gred 41 dan ke atas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)  Adnan Mat berkata, tambahan jumlah yang sama juga harus diberikan kepada penjawat awam di Sabah dan Sarawak yang mendapat Elaun Wilayah.

“Tambahan COLA bagi gred 40 ke bawah telah dilaksanakan pada Januari lepas dan kongres berpandangan tambahan COLA itu harus dipanjangkan juga kepada gred 41 dan ke atas, kerana gred 41 gaji tidak banyak sebab baru saja bekerja,” katanya.

Kenaikan COLA sebanyak RM50 bagi kumpulan pelaksana itu diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2020, membabitkan peruntukan tambahan RM350 juta setahun.

Dalam sidang akhbar bersempena Mesyuarat Majlis Kongres CUEPACS dan Promosi Pelaksanaan Banci , Adnan turut meminta kerajaan melaksanakan segera keputusan yang dibuat sebelum ini.

Antaranya penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

Bernama melaporkan, kerajaan juga perlu menyegerakan pelaksanaan penambahan gaji guru gred 56 serta pemendekan tempoh kenaikan pangkat time-based kali kedua daripada 13 tahun kepada 10 tahun.

“Kita harap kerajaan ambil perhatian agar kekal jaga kebajikan penjawat awam dan laksanakan apa yang mereka umum sebelum ini. Jika tidak boleh (laksana) semua, jangan meninggalkan semua,” tegasnya.-SM

 

(Visited 250 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button