fbpx
Hiburan

COVID-19: Teater muzikal PGL sedia ubah tarikh pementasan

PENERBIT dan pengarah teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL), Puan Sri Tiara Jacquelina bersedia menghadapi perubahan seandainya tarikh pementasan teater muzikal tersebut terpaksa ditunda ekoran krisis COVID-19.

Menurut Tiara yang juga pengasas Enfiniti (M) Sdn Bhd, dia dan pihak produksi hanya menunggu perkembangan seterusnya dan akan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan dari pihak kerajaan.

“Mengenai pementasan PGL The Musical, kami dari pihak Enfiniti akur dengan arahan pihak kerajaan, saya amat faham, kita semua dalam proses mencegah penularan wabak COVID-19.

“Walupun berat hati, tetapi saya dan pihak produksi harus mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan bersedia untuk menunda tarikh tayangan teater ini jika ia masih tidak dibenarkan pada bulan Julai nanti,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Tambah Tiara, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lalu, sesi latihan PGL The Musical telah diadakan sejak bulan Disember 2019.

“Sesi latihan bersama para pelakon selain mencari pelakon-pelakon utama telah diadakan sejak bulan Disember lalu, jadi saya yakin mereka sempat untuk ‘catch up’ menjelang hari pementasan nanti.

“Apapun, pihak Enfiniti menunggu perkembangan seterusnya dan akan mematuhi segala garis panduan daripada kerajaan,” katanya lagi.

Berdasarkan perancangan tahun lalu, PGL The Musical yang diarahkan oleh Tiara Jacquelina itu telah dijadualkan untuk memulakan pementasan di Esplanade, Singapura pada Jun tahun ini diikuti di Istana Budaya pada Julai.

Difahamkan, pihak Enfiniti (M) Sdn Bhd akan mengeluarkan kenyataan rasmi tentang perkembangan terkini PGL The Musical dalam masa terdekat. – ASTRO GEMPAK

 

 

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button