fbpx
Luar Negara

Singapura catat kematian ke-18 Covid-19:

SINGAPURA mengesahkan 657 kes baharu COVID-19 semalam dengan satu lagi kematian yang melibatkan warga emas, menjadikan jumlah kematian 18 orang.

Memetik laporan BERNAMA, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan, seorang wanita warga Singapura berusia 86 tahun meninggal dunia pada 3 Mei di Hospital Khoo Teck Puat.

Dilabelkan sebagai kes ke-14,744, wanita itu yang disahkan dijangkiti wabak COVID-19 pada 27 April lalu mempunyai latar belakang penyakit diabetes, hipertensi dan hiperlipidemia.

Singapura melaporkan kematian pertama akibat COVID-19 pada 21 Mac lalu.

Sementara itu, kementerian memaklumkan punca kematian kes ke-17,410, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 47 tahun yang meninggal dunia pada 1 Mei, adalah disebabkan penyakit jantung iskemik.


Setakat semalam, 61 lagi kes jangkitan COVID-19 telah dibenarkan keluar hospital atau fasiliti pengasingan komuniti.

Secara keseluruhan, menurut MOH, 1,408 telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar dari hospital atau fasiliti pengasingan komuniti.

Pada masa ini terdapat 1,630 kes yang masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya stabil atau bertambah baik manakala 22 lagi berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 15,149 kes dengan gejala ringan atau baik secara klinikal tetapi masih positif COVID-19 kekal diasingkan di fasiliti komuniti.

Daripada 657 kes baharu yang direkodkan pada Ahad, tiada kes diimport, 13 kes dalam fasiliti komuniti, 18 pemegang permit kerja yang tinggal di luar asrama, sementara 626 pemegang permit kerja yang tinggal di asrama. – BERNAMA

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button