Luar Negara

Kes COVID-19 di Indonesia lepasi angka 11 ribu, 845 kematian

SEBANYAK 14 lagi kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Indonesia meningkat kepada 845 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata kes positif virus itu juga meningkat kepada 11,192 kes iaitu tambahan 349 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

“Ketika ini, sebanyak 23,130 pesakit masih lagi berada dalam pengawasan virus itu,” katanya.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes kematian tertinggi iaitu 398 kes, diikuti Jawa Timur (111), Jawa Tengah (85) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Jirannya, Singapura pula hari ini mengesahkan tambahan 657 kes positif COVID-19, dengan hanya 10 daripadanya melibatkan rakyat Singapura, atau penduduk tetap.

Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan berkata sebahagian besar daripada kes-kes itu melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Susulan angka terbaharu, jumlah kes positif di Singapura kini ialah 18,205.

“Jumlah kes di kalangan pekerja asing tidak menentu sejak beberapa hari lepas disebabkan usaha menangani kes-kes tertangguh oleh sebuah makmal. Pihak kementerian sedang bekerjasama dengan makmal berkenaan untuk menstabilkan operasinya,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata pihaknya masih berusaha mendapatkan perincian kes-kes berkenaan, dan akan mengemas kini maklumatnya nanti.

Dalam data terperinci yang dikeluarkan lewat Sabtu, Kementerian itu berkata oleh kerana tiada lagi kes yang dikaitkan dengan bar Hero di Circular Road dan The Orange Ballroom di Geylang Road sejak berlalu dua tempoh inkubasi, kluster berkenaan telah ditutup.

Republik itu juga telah mengenal pasti lima kluster baharu pada Sabtu.

Sementara itu kluster terbear S11 Dormitory @ Punggol sehingga kini merekodkan 2,477 kes yang telah disahkan.

Daripada angka 17,548 yang dicatatkan Sabtu, Singapura mengelaskan 1,211 sebagai kes komuniti, 579 sebagai kes import dan 551 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama.

Sementara itu pekerja asing di asrama mendominasi angka itu dengan 15,207 kes, atau mewakili 87 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Di Bangkok, beberapa kawasan awam dan perniagaan akan ditutup sementara berkuat kuasa pada Ahad sehingga akhir bulan ini, di bawah peraturan darurat, untuk mengekang penularan COVID-19.

Perkara itu diumum Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang dalam satu kenyataan pada Sabtu, sambil mengingatkan pentingnya menjaga jarak sosial, lapor agensi berita Xinhua.

Mereka yang ingkar boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum 100,000 baht (kira-kira RM13,300) atau kedua-duanya sekali, menurut kenyataan itu.

Tempat dan perniagaan yang masih ditutup sementara, termasuk pusat hiburan, pub, bar, kelab karaoke, rumah urut dan stadium tinju.

Walaupun pusat beli-belah ditutup sementara di bawah peraturan darurat, pasar raya, restoran dan kedai makanan dibenarkan dibuka semula. – BERNAMA

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button