Luar Negara

Singapura catatkan 573 kes baharu Covid-19, keseluruhan 18,778 kes

SINGAPURA hari ini mengesahkan 573 lagi kes positif COVID-19, dengan lima daripadanya merupakan rakyat atau pemastautin tetap republik itu.

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan berkata majoriti kes adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.  Dengan kes baharu ini, jumlah mereka yang dijangkiti virus itu mencecah 18,778.

MOH masih meneliti perincian kes-kes dan akan mengemas kini maklumat berkenaan kemudian.

Dalam data terperinci dikeluarkan lewat Ahad, kementerian itu berkata tiada lagi kes berkaitan stesen MRT Maxwell, di Jalan Neil untuk dua tempoh inkubasi lepas, dan sekarang kluster itu telah ditutup.

Republik itu juga telah mengenal pasti enam kluster baharu semalam, dengan kluster terbesar S11 Dormitory @ Punggol yang setakat ini mencecah 2,505 kes disahkan.

Pada Ahad jumlah keseluruhan kes ialah 18,205, dan Singapura mengklasifikasikan 1,224 daripadanya sebagai kes komuniti, 579 kes import dan 539 kes melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama.

Pekerja asing yang tinggal di asrama merupakan majoriti daripada jumlah keseluruhan kes iaitu 87 peratus atau 15,833 kes.

Arab Saudi pula mencatatkan lapan lagi kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 184 orang, kata Kementerian Kesihatan pada Ahad lapor agensi berita Anadolu.

Sebanyak 1,552 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, menyaksikan jumlah keseluruhan jangkitan ialah 27,011 manakala seramai 4,137 pesakit sembuh.

Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), setakat ini seramai 126 orang maut bertambah sebanyak tujuh lagi kematian. Jumlah kes pula melonjak kepada 14,163 dengan 564 kes baharu.

Sementara itu di Kuwait, 38 orang maut dengan lima kematian baharu dicatatkan, jumlah kes meningkat 4,983 manakala pesakit yang pulih mencecah seramai 1,776.

Sebanyak 679 kes lagi dikesan di Qatar menjadikan jumlah keseluruhan 15,551 manakala 1,644 pesakit discaj.

Di Mesir, Kementerian Kesihatan mengatakan 14 lagi orang meninggal dunia, setakat ini berjumlah 429 orang. Negara itu mengesahkan 272 lagi kes menjadikan keseluruhan 6,465.

Setakat ini, di Algeria 463 orang telah menjadi korban wabak COVID-19 dengan empat kematian baharu dilaporkan. Jumlah keseluruhan kes di 4,474 manakala 1,936 pesakit sembuh.

Kementerian Kesihatan Iraq pula melaporkan dua lagi kematian, keseluruhan 97 orang.

Sementara di Maghribi terdapat 4,903 kes manakala 1,438 pesakit pulih. – BERNAMA

(Visited 44 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button