fbpx
Mahkamah

Buruh mengaku tidak bersalah cederakan ejen insurans

SEORANG buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang ejen insurans dan melakukan rompakan di Manjung, awal bulan ini.

Lee Kok Chin, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Bagi pertuduhan pertama, Kok Chin didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Loi Teik  Wen, 23, dengan menggunakan sebilah pisau, senjata yang boleh menyebabkan kematian di sebuah premis di Jalan Marina Villa I, Marina Island, Lumut pada kira-kira pukul 11.30 pagi, 7 Jun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Kok Chin didakwa melakukan rompakan dengan membawa lari Proton BLM milik orang awam, Norziana Hussin yang diletakkan di tempat letak kereta di hadapan sebuah bank di Sitiawan kira-kira pukul 12.15 tengah hari pada hari yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Naidatul Athirah Azman yang mengendalikan kes pertama, memohon mahkamah memberikan jaminan RM20,000, manakala TPR Liyana Zawani Mohd Radzi, bagi kes kedua, menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh.

Norashima kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 bagi pertuduhan kedua, masing-masing dengan seorang penjamin selepas peguam bela tertuduh, Ranjit Singh Sandhu memohon kepada mahkamah agar mengurangkan jaminan.

Mahkamah menetapkan 14 Julai ini tarikh sebutan semula kes. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button