Mahkamah

Seks luar tabii: Lelaki dipenjara sembilan tahun, tiga sebatan

Turut berdepan empat lagi pertuduhan

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 1 Julai – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku salah melakukan seks luar tabii ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun yang dilarikannya dari Klang, Selangor, bulan lalu.

Tertuduh, Azali Abu, 40, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan itu.

Tertuduh didapati telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak berusia 13 tahun.

Mengikut pertuduhan, perbuatan itu telah dilakukan oleh tertuduh di sebuah Pangsapuri Bachang Permai di Jalan Tun Fatimah dekat sini kira-kira pukul 10.00 malam pada 16 Jun lalu.


Tertuduh tertuduh yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Batu Berendam dekat sini serta sudah berkahwin dan mempunyai dua anak didakwa mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Dia turut berdepan dengan empat lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja kesemua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada 16 Jun 2022 kira-kira pukul 10 malam dan 17 Jun 2022 antara 9 pagi sehingga 10 malam di lokasi sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, bagi setiap pertuduhan.

Mengikut fakta kes, ibu mangsa berusia 30 tahun telah membuat laporan polis berhubung anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Covent Klang, Selangor tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu sekolah pada 16 Jun lalu.

Pengadu mengsyaki anaknya telah dilarikan oleh seorang lelaki yang dikenalinya melalui aplikasi Zackychat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah Pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Ahmad dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat dikenakan bagi pengakuan dibuat tertuduh.

Mengikut hujahan, tertuduh telah melarikan mangsa dari Klang selepas waktu sekolah dan terus dibawa ke pangsapuri berkenaan untuk melakukan perbuatan terkutuk.

Kata Ahmad Sazali, tertuduh mengambil kesempatan terhadap mangsa yang hanya merupakan seorang pelajar tingkatan satu.

Hakim kemudiannya menetapkan 28 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

(Visited 45 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button