Politik

BN mampu rampas kembali Parlimen Tangga Batu – Mohamad Ali

Barisan Nasional (BN) Parlimen Tangga Batu mampu merampas kembali kerusi tersebut yang dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, keyakinan itu berdasarkan momentum rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November lalu jelas telah menolak Pakatan Harapan (PH) dan PKR.

Menurutnya, kejayaan merampas kembali dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan Klebang serta mengekalkan Pantai Kundor pada PRN lalu membuktikan rakyat kini kembali yakin terhadap BN untuk memenangi PRU-15 nanti.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, kegagalan PKR memenangi sebarang kerusi yang ditandingi oleh calon-calonnya pada PRN Melaka sudah membuktikan rakyat di negeri ini tidak lagi dapat menerima kehadiran mereka.

“Dulu rakyat terpengaruh dengan dakyah pembangkang hingga mereka hilang kepercayaan terhadap BN namun selepas 22 bulan PH memerintah kini mereka sudah tahu mana yang baik dan mana yang buruk.


“Kali ini rakyat harus percaya terhadap BN untuk memenangi PRU-15 kerana sudah terbukti parti pembangkang gagal menguruskan pemerintahan negara dengan baik hingga mencetuskan pelbagai isu.

“Pada PRN Melaka tahun lalu BN menang 21 daripada 28 kerusi itu dan itu adalah petanda kebangkitan semula BN,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Petrol Percuma di stesen Petronas Bukit Rambai dan Sungai Udang anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu, baru-baru ini.

Pada PRU-14, calon dari PKR, Rusnah Aluai menewaskan calon BN, Datuk Zali Mat Yasin dan Ustaz Zulkifli Ismail dari Pas dengan majoriti 4,659 undi.

Mengenai calon yang akan bertanding di Parlimen tersebut Mohamad Ali yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, perkara tersebut hanya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli parti untuk tidak memikirkan siapa bakal bertanding pada PRU15 kelak kerana yang akan dimenangkan adalah calon BN.

“Buat masa ini tumpuan utama saya adalah menggerakkan jentera di peringkat bahagian, sayap-sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sebagai persiapan rapi jika PRU-15 akan diadakan pada bila-bila masa,” ujarnya. – SM

(Visited 101 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button