Politik

Henti cakap-cakap ‘PM ke-8’ Tahun 2020

ANALISIS

DALAM banyak perkara, tidak semua Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad `beritahu dunia’.

Sesiapa yang kenal benar dengan beliau, Dr. Mahathir cuma keluarkan pandangan satu perempat sahaja. Yang tiga perempat lagi beliau simpan ‘untuk masa hujan, tengkujuh, panas terik’.

Dalam situasi hari ini, Suara Merdeka berpendapat, mereka yang begitu berlumba-lumba mahu menjadi PM ke-8 atau merebut jawatan harus upaya tahu ada masa mereka akan disekat oleh situasi atau hal tidak disangka-sangka.

BUKAN JANJI PESURUHJAYA SUMPAH

Barang diingat, orang yang menjadi Timbalan Perdana Menteri pun tidak semestinya boleh jadi PM. Sudah banyak kisah kita lihat, Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Hal ini patut sudah dipelajari. Yang paling bijaksana dilakukan oleh `calon-calon’ ialah buat kerja secara ikhlas, kemudian biarlah proses itu menterjemahkan. Tak bijak misalnya mengatakan “Oh! sudah dijanjikan pada saya. Itu janji politik. Menjanjikan sesiapa pun sebagai PM ke-8 bukanlah janji Pesuruhjaya Sumpah (Commissioner of Oaths).

Janji-janji untuk PM ke-8 itu tertakluk kepada beberapa keadaan sebenar. Pertama, katakanlah Anwar calon terdekat, maka Anwar harus menunjukkan beliau tidak ‘mengenakan’ sistem dalam keadaan beliau ‘mencari peluang menerusi suara tak jelas’.

Dengan hanya mengatakan Dr. Mahathir “sudah janjikan saya akan jadi PM”, ramai orang berkata itu tidak bijak untuk diungkapkan setiap hari apabila diwawancara (termasuk dalam sidang media). Lebih bijak bagi Anwar nyatakan “saya serahkan keputusan kepada Dr. Mahathir”.

 

ISTERI TPM, SUAMI PRESIDEN?

Masalahnya, jarang di dunia ini sang isteri menjadi Timbalan Perdana Menteri sedangkan diri sendiri menjadi presiden parti. Tidak ada dalam dunia begitu. Buat pertama kali berlaku di Malaysia.

Presiden Isabel Peron di Argentina (1974-1976) dan Presiden Corazon Aquino (Filipina, 1986-1992), kedua-duanya wanita, tetapi suami masing-masing tidak lagi memainkan peranan. Tidak ada analogi, tidak ada persamaan.

 

UNDI TIDAK PERCAYA?

Namun di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, tiada sesiapa yang boleh menurunkan seseorang PM kecuali dengan undi tidak percaya di Parlimen. Dengan cara itu, waima dipetisyenkan pun kepada Yang di-Pertuan Agong, itu tidak boleh berlaku sebab proses Perkara 43 tadi harus dilalui dengan kadar begitu.

 

TUN PM HINGGA SEPENGGAL?

Dalam hal sebegitu, bukan semudah mana nak jadi PM, sekali gus disepak dari sudut terus masuk gol. Sukar. Ia mesti dengan keampuhan goalie (penjaga gol) yang ada. Dan goalienya adalah Dr. Mahathir.

Sedangkan goalie ini cukup cekap kendalikan gol dan kita maklum dalam perjuangan politik tanah air, kita yakin belum berjumpa dengan mana-mana pemimpin yang cekap daripada beliau dan tidak begitu banyak sifat itu luntur, waima beliau memasuki 94 tahun.

Jadi, dengan pandangan sebegitu, kita tidak ketepikan kemungkinan Tun M terus jadi PM satu penggal. Kalau begitu, tentu orang-orang Anwar berkata, ha! sudah mungkiri janji.

Bukan begitu jawapannya. Sebaliknya ia adalah komitmen poliitik yang ada beberapa lapisan atau babnya yang perlu dipatuhi dan diisi.

Maka, seeloknya baik Anwar mahupun sesiapa sahaja yang terdorong mahu menjadi PM ke-8, biarlah sahaja Dr. Mahathir putuskan.

Apa lagi dalam memasuki gerbang Tahun 2020 ini dengan cabaran ekonomi negara yang sedang berdaya saing, sebaik-baiknya tidak lagi disebut-sebut perkataan “PM ke-8”.

– SUARA MERDEKA

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button