Politik

BN boleh rampas DUN Bukit Naning – Datuk Mohd. Fuad

MUAR 27 Februari –  Calon Barisan Nasional (BN) Bukit Naning, Datuk Mohd. Fuad Tukirin yakin untuk BN merampas kembali kerusi berkenaan yang terlepas ke tangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurut Ketua UMNO Bahagian Bakri itu, keyakinan itu berdasarkan momentum kemenangan BN dalam tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.

Beliau berkata, kemenangan itu menunjukkan rakyat telah sedar dengan kepincangan yang berlaku sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan.

“Kalau dilihat kemenangan BN itu terutama di Melaka yang menang 21 daripada 28 dan Sarawak membuktikan rakyat mahukan BN kembali memerintah sebelum kita tewas pada PRU-14.

“Cuma yang saya minta agar pengundi di Bukit Naning memberi peluang kepada saya untuk menjadi wakil rakyat yang mengambil berat nasib mereka malah yakin dengan kepimpinan BN untuk terus mentadbir Johor,” ujarnya ketika ditemui di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Bakri hari ini.

Mohd. Fuad, 53, berkelulusan Sarjana Sains Kejuruteraan Kualiti Universiti Nottingham bakal berdepan saingan lima penjuru.

Beliau akan ditentang penyandang kerusi itu Md. Ysahruddin Kusni (PKR), Mahadzir Abu Said dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Ibrahim Shafee dari Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan S. Jeganathan calon Bebas.

Pada PRU-14 kerusi tersebut dimenangi Md. Ysahruddin calon daripada PKR manakala calon BN menerusi Hassan Johari tewas manakala calon Pas, Azman Ibrahim dan Jeganathan dari Bebas hilang deposit.

Pengerusi BN Parlimen Bakri itu berkata, jentera parti sudah digerakkan dengan tumpuan  kepada empat daripada sepuluh Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu di Pekan Bukit Batu.

Katanya, empat PDM itu tewas sewaktu PRU14 adalah antara penyebab utama calon BN tewas kerana ramai pengundi Cina di situ.

“Kali ni saya beri tumpuan untuk menyakinkan mereka (pengundi Cina) untuk kembali menyokong BN.

“Jika kita menang dua PDM di sini peluang BN untuk menyumbang kerusi untuk kita kembali menguasai Johor adalah cerah,” ujarnya yang kali pertama bertanding.

(Visited 965 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button