Politik

Zahid Hamidi buat kenyataan dangkal tentang kerjasama MN

PRESIDEN PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tampil membalas dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti Islam itu hanya menawarkan kerjasama politik “dangkal” dalam Muafakat Nasional (MN).

Hadi berkata, kenyataan itu tidak mewakili UMNO kerana parti itu bukan sahaja ada Presiden sebaliknya ada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Naib Presiden dan Ketua-Ketua Bahagian.

“UMNO ini bukan (ada) Presiden saja. UMNO ini adalah sebuah parti yang ada Majlis Kerja Tertinggi, naib presiden, bahagian-bahagian,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS ke-68 hari ini.

Presiden PAS itu berkata, partinya masih berpegang kepada pendirian asal penubuhan MN iaitu menerima penyertaan mana-mana parti yang tidak ekstrem termasuk Bersatu.

“Kita masih berpegang kepada pendirian asal antara PAS dan UMNO ketika tubuhkan MN.

“Kita setuju bukan saja UMNO dan PAS, termasuk juga Bersatu, termasuk jugalah mana-mana NGO.

“Kita masih lagi berpegang kepada perjanjian asal,” tegas beliau.

Semalam, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, UMNO perlu bergerak ke depan secara solo memandangkan PAS hanya menawarkan kerjasama politik “dangkal” dalam MN.

Kata Zahid lagi, kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dalam MN tidak dapat dijalin lebih-lebih lagi PAS menjalin hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan UMNO dari luar dan dalam.

Beliau merujuk kepada keputusan PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Bersatu, parti serpihan UMNO. – SM

(Visited 283 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button