fbpx
Luar Negara

Bill Gates antara penyumbang AS$8.8 bilion dana Gavi

PERIKATAN Vaksin Global (Gavi) berjanji menyumbang sebanyak AS$8.8 bilion ketika mesyuarat dalam talian yang dianjurkan United Kingdom (UK).

Dana itu diberikan oleh puluhan kerajaan, badan amal dan yayasan yang akan bergerak memerangi COVID-19.

Pengasas Microsoft, Bill Gates turut berjanji menyumbang melalui Yayasan Bill dan Melinda Gates.

“Hari ini, yayasan kami menjanjikan AS$1.6 bilion untuk membantu Gavi meneruskan usahanya yang luar biasa selama lima tahun akan datang.

“Di samping itu, yayasan ini dengan bangga menyokong komitmen pasaran vaksin COVID-19 baharu dengan sumbangan AS$100 juta untuk membantu memastikan bahawa apabila vaksin COVID-19 ditemui, setiap orang yang memerlukannya dapat memiliki akses, bermula dengan pekerja kesihatan dan populasi berisiko tinggi yang lain,” katanya.


Gates berkata, sumbangan dari yayasannya adalah untuk memastikan bahawa vaksin dapat dibangunkan dan akan tersedia untuk semua yang memerlukan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri UK, Boris Johnson yang menjadi tuan rumah dalam sidang kemuncak itu menggambarkan pembangunan vaksin COVID-19 sebagai usaha bersama terbesar sepanjang hayat.

“Kita telah memperoleh AS$8.8 bilion untuk usaha Gavi dalam lima tahun akan datang. Terima kasih banyak-banyak.

“Bersama-sama kita bangkit untuk memenuhi usaha bersama terbesar dalam hidup kita, kemenangan umat manusia ke atas penyakit, sekarang dan untuk generasi berikutnya,” kata Johnson.

Pemimpin Sepanyol, Itali dan Jerman juga turut serta dalam sidang kemuncak itu, berjanji akan menyumbang dana ke arah perikatan vaksin itu.

Gavi ditubuhkan pada tahun 2000 dengan sokongan dan pengembangan yang signifikan dari Yayasan Bill dan Melinda Gates.

Ia juga mendapat sokongan dari Bank Dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Dalam kenyataan misinya, Gavi menyatakan telah menvaksinasi 760 juta kanak-kanak dari negara miskin seluruh dunia, sekali gus menyelamatkan 13 juta nyawa. – BERNAMA

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button