Politik

Berhenti jadikan forum akademik bahan hasutan kebencian

DATUK Seri Ti Lian Ker menegaskan perbuatan menghasut masyarakat dengan kebencian, termasuk memutar-belit fakta berkaitan forum akademik akan merosakkan perpaduan negara.

Timbalan Menteri Perpaduan itu berkata, beliau kesal kerana penglibatan beliau dengan memberi ucapan bertajuk: Mengekalkan Perpaduan Negara telah dimanipulasikan oleh pihak tertentu untuk menyerangnya secara peribadi.

Tamba beliau, walaupun program berkenaan adalah anjura Parti Komunis China dan turut dihadiri oleh para pemimpin PKR dan DAP serta mereka juga melibatkan diri dalam forum berkenaan, tetapi beliau selaku Naib Presiden MCA yang dijadikan sasaran.

“Fokus ucapan saya adalah untuk berkongsi kejayaan Malaysia dalam mengekalkan keharmonian dan perpaduan negara.

“Malangnya, beberapa individu dan pertubuhan yang mempunyai kepentingan politik dilihat secara sengaja membangkitkan isu perkauman dengan menuduh kononnya MCA “menyokong komunis”, hanya kerana mengambil bahagian di dalam satu forum yang turut dihadiri parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan hari ini,.

Menurut beliau, segelintir pihak tidak bertanggungjawab merujuk kepada ucapan saya yang disampaikan secara maya dalam forum yang dianjurkan Jabatan Antarabangsa, Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (IDCPC) pada Isnin lepas, 22 Februari 2021.

Forum tersebut merupakan sebahagian daripada penglibatan diplomatik sepanjang 40 tahun untuk memupuk hubungan diplomasi dan perdagangan yang lebih kukuh di antara Malaysia dan China. Ia juga merupakan salah satu usaha yang telah dimulakan oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein apabila mengambil inisiatif melawat negara China pada tahun 1974.

Antara pemimpin-pemimpin Malaysia yang turut mengambil bahagian di dalam forum anjuran IDCPC ini ialah, wakil-wakil daripada PKR  telah mengambil bahagian dalam satu sesi bersama-sama dengan para wakil daripada negara Sepanyol, Turki dan Korea Selatan.

Sebelum ini, terdapat para pemimpin daripada parti DAP, PKR, UMNO dan parti-parti politik Malaysia yang lain turut menyertai program-program anjuran kerajaan China, namun ia tidak pula dipolitikkan.

Lian Ker berkata, jelas bahawa “retorik perkauman” ini adalah satu taktik politik terancang oleh pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan menghasut kebencian terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan juga MCA, malah mengaitkannya dengan Ulang Tahun ke-71 Tragedi Bukit Kepong.

“Di dalam forum berkenaan, saya telah membangkitkan tentang kesan-kesan pandemik COVID-19 pada tahun lepas dan bagaimana ia telah menguji daya tahan landskap ekonomi negara kita yang terjejas teruk susulan penutupan sektor perniagaan, perdagangan dan kadar pengangguran tinggi yang dihadapi.

“Kandungan ucapan saya adalah jelas untuk semua, bertepatan dengan tema mengenai perpaduan sekaligus membawa jenama perpaduan Malaysia kepada negara-negara lain di samping menggalakkan hubungan diplomasi.

“Ia tiada kena mengena dengan ideologi politik komunis, sebaliknya ia adalah satu usaha untuk mempromosikan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dalam mengekalkan perpaduan dengan mengamalkan sikap toleransi dan persefahaman,” kata beliau.

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button