fbpx
Politik

Tok Mat tak layak jadi TPM, lebih layak jadi CEO Malaysia

MENGAPA Datuk Seri Mohamad Hasan tidak layak untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM)? Sebabnya beliau seharusnya menjadi Perdana Menteri.

Mohamad Hasan atau mesra dengan panggilan Tok Mat seorang ahli korporat yang berjaya dan hebat. Oleh itu beliau lebih sesuai memegang jawatan tertinggi negara.

Beliau akan menjadi CEO Malaysia yang akan meletakkan kembali negara ini di landasan yang betul untuk memacu pertumbuhan negara mencapai negara maju yang telah tergendala.

Ketika aktif di dalam dunia korporat beliau sangat dihormati. Ibaratnya beliau sentiasa bergerak ke seluruh dunia.

Beliau mungkin minum pagi di London dan makan tengah hari di bahagian dunia lain.


Begitulah kehidupan beliau. Walaupun berasal dari keluarga miskin di kampung dan pernah bekerja di kilang getah, Tok Mat berjaya menempatkan diri di dalam dunia korporat ke peringkat tertinggi.

Oleh itu Tok Mat sangat dekat dengan masyarakat dan memahami kesukaran yang dihadapi oleh rakyat.

Beliau pulang ke tanah air untuk menabur bakti setelah diminta oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri.

Tok Mat pulang ke negeri kelahiran dan menjadi Menteri Besar yang sangat disenangi oleh rakyat.

Disenangi rakyat, tidak bermakna disenangi oleh orang politik. Tok Mat seorang yang tegas dalam semua hal menyebabkan dia tidak popular dalam kalangan orang politik.

Saya banyak mendengar cerita tentang Tok Mat semasa menjadi menteri besar dan akhirnya berpeluang mendengar dan berkongsi pandangan di dalam satu forum.

Saya sendiri ketika pilihan raya kecil DUN Rantau pada mulanya pergi untuk membantu Tok Mat, tetapi memutuskan untuk pulang ke Kuala Lumpur, kerana Tok Mat tahu apa yang dilakukannya.

Ada seorang petugas Tok Mat yang mengekor semasa berkempen telah ditegur oleh Tok Mat. Dia disuruh pulang buat kerja sendiri dan tidak perlu mengiringi Tok Mat ke serata tempat.

“Saya tahu apa yang perlu saya buat, saya buat kerja saya, awak buat kerja awak,” kata Tok Mat dalam loghat Negeri Sembilan.

Semasa pilihan raya kecil itu juga Tok Mat yang juga Timbalan Presiden UMNO menyenaraikan orang UMNO yang tidak dibenarkan berkempen di Rantau.

Tentulah sikap sedemikian tidak digemari oleh orang politik yang gemar hadir di dalam gerombolan dan berkempen siang dan malam, walaupun kadang kala hanya seronok sendiri sahaja.

Ternyata Tok Mat tidak menghadapi masalah untuk menang bergaya pada pilihan raya kecil itu.

Sebab itu apabila kerajaan Perikatan Nasional menawarkan jawatan sebagai Pengerusi TNB, beliau menolaknya. Itu bukan tahap beliau.

Sama juga jika menjadi TPM beliau tidak berkesan, kerana TPM merupakan jawatan yang tidak mempunyai kuasa.

TPM tidak mempunyai kementerian dan portfolio. Kebiasaannya TPM akan memegang jawatan Menteri Dalam Negeri atau Menteri Kewangan untuk memberi lebih kuasa.

Jika hanya TPM tiada apa yang dapat dilakukannya. TPM hanya boleh membuat keputusan apabila Perdana Menteri sendiri tiada di dalam negara.

Oleh itu mereka yang lebih layak menduduki jawatan TPM sebenarnya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau Datuk Seri Ismail Sabri.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula yang juga Presiden UMNO telah pernah menyandang jawatan berkenaan dan ketika itu beliau turut memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Saya rasa Tok Mat sendiri tidak berminat menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan dilantik sebagai senator. Beliau pastinya mahu membuktikan sebagai pemimpin berwibawa dengan bertanding pada pilihan raya umum di peringkat parlimen dan pada masa yang sama perlu memegang jawatan tertinggi parti iaitu sebagai Presiden UMNO.

Kerusi parlimen mungkin tidak mempunyai masalah kerana Tok Mat digemari oleh rakyat, tetapi untuk menjadi Presiden UMNO, beliau perlu memperbaiki hubungan sesama orang politik, khususnya di dalam parti sendiri.

Tok Mat walaupun calon paling layak sebagai Perdana Menteri, tetapi laluan beliau penuh onak dan duri.

 

 

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button