NasionalPendidikan

Belanjawan 2024: Kerajaan digesa beri tumpuan kepada pembangunan madrasah, maahad tahfiz

JUMAAT ini dijangka Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2024 atau Belanjawan Malaysia MADANI buat kali kedua.

Sehubungan itu, perlu diberi peringatan bahawa hak mendapatkan pendidikan adalah hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan terkandung dalam The UNESCO Convention against Discrimination in Education (1960), Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICECSR), Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) dan juga Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam (CHDRI 1990).

Bagi umat Islam, mempelajari al-Quran adalah keutamaan dan sejak zaman berzaman menjadi pendidikan terawal bagi seseorang muslim.

Manakala hafalan al-Quran pula mempunyai peranan khusus sebagai mekanisme untuk menjaga kesucian al-Quran bermula sejak komuniti pertama umat Islam di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w. sendiri.

Demikian kata Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan PINTA, Mohd Zahid Mahmood Al-Hafiz dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, di Malaysia, begitu banyak maahad atau madrasah tahfiz persendirian yang ditubuhkan bagi memenuhi permintaan masyarakat.

“Berdasarkan kepada pangkalan data terkini (sehingga 5 Oktober 2023) yang telah diusahakan oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Pembangunan, Yayasan PINTA, terdapat 1,451 Madrasah/Maahad Tahfiz yang beroperasi di seluruh Malaysia.

“Ia merangkumi sama ada yang telah berdaftar atau belum berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd Zahid, Yayasan PINTA percaya masih ada lagi madrasah atau tahfiz persendirian yang belum dikenalpasti dan dapat dimasukkan dalam pangkalan data Yayasan PINTA ini.

“Sesuai dengan Perlembagaan Persekutuan, urusan agama diletakkan di bawah Majlis Agama Islam setiap negeri.

“Oleh itu, semua madrasah ini perlu didaftarkan di Majlis atau Jabatan Agama Negeri masing-masing. Tujuannya bukan untuk mengekang pertumbuhan madrasah atau tahfiz di negara ini, malah untuk menjaga kualiti pendidikan, kebajikan dan keselamatan semua madrasah tersebut,” ujar beliau.

Tambah beliau, secara mudahnya, ia bertujuan agar umat Islam mendapat hak untuk mempelajari dan menghafal al-Quran dengan mudah dan berkualiti.

GAMBAR HIASAN – GAMBAR FAIL – PENDIDIKAN agama di madrasah atau tahfiz melahirkan generasi celik ilmu.

Sehubungan itu, kata Mohd Zahid lagi, sebagai sebuah organisasi yang bermatlamat untuk memperkasa institusi tahfiz di negara ini, Yayasan PINTA menggesa agar di dalam Belanjawan MADANI kedua nanti, Kerajaan berasaskan prinsip tatakelola berteraskan keterangkuman menyeluruh turut memberikan tumpuan kepada pembangunan dan kemaslahatan madrasah atau maahad tahfiz dari segi:

a) Bajet yang adil serta mencukupi bagi membantu madrasah tahfiz ini mampu menepati syarat-syarat yang melayakkan mereka mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing.

b) Bagi madrasah yang telah berdaftar, bajet yang adil serta mencukupi bagi membaik pulih premis yang ada bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada pelajar tahfiz.

c) Memberikan insentif yang wajar kepada mana-mana individu/organisasi yang membantu madrasah tahfiz dalam apa cara yang bermanfaat; dan d) Meneruskan agenda Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sebagaimana semangat semasa diisytiharkan yang mana ditekankan:

i. agar libat urus yang inklusif sentiasa dilakukan dengan madrasah tahfiz di akar umbi sebagai pemegang taruh utama DPTN dan
ii. pembangunan dan pelaksanaan DPTN ini dilaporkan terus kepada kepimpinan tertinggi negara bagi memastikan lepasan tahfiz ini dapat menjadi sumber daya insani negara yang cemerlang. – SM

BACA Peruntukan RM100 juta selenggara Institusi Pendidikan Agama di bawah Kemudahan Projek Khas

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button