Nasionalpilihan

Beri tumpuan tunai janji PRN Melaka – Mohd. Ali

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali diingatkan agar semua janji-janji sewaktu Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilunaskan.

Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, janji itu adalah amanah yang dipertanggungjawabkan dan kepimpinan kerajaan negeri untuk menyelesaikan semua janji yang dibuat pada PRN tersebut.

Menurutnya, beliau mahu melihat barisan kepimpinan perlu bekerja lebih kuat untuk memahami denyut nadi rakyat serta membantu keperluan mereka.

“Kestabilan politik kekal menjadi faktor penting dalam pembangunan negeri kerana tiada pelabur asing berminat untuk melabur sekiranya situasi politik tidak menentu.

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Mengikut bidalan tersebut, kestabilan politik yang teguh sebenarnya bakal membawa perpaduan dan kemakmuran kepada seluruh rakyat di negeri ini.

“Saya berharap agar wakil-wakil rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.

“Mereka perlu bekerja keras dalam merangka dasar-dasar pembangunan negeri untuk menarik lebih banyak pelaburan demi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Pembukaan Sidang Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka di sini, hari ini.

Mohd. Ali berkata, badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri perlu meningkatkan kecekapan meneroka peluang-peluang pasaran modal yang lebih kompetitif.

Di samping itu katanya, kerajaan negeri juga boleh merancang untuk mewujudkan tabung pelaburan amanah hartanah dengan kaedah syarikat tujuan khas (SPV).

Katanya, ia bertujuan bagi membeli dan menstruktur semula aset-aset berkualiti milik badan berkanun dan anak-anak syarikat untuk dibangunkan. – SM

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button