Bola SepakSukan

Air mata Suarez tumpah buat kali terakhir di Barcelona

SEMALAM merupakan kali terakhir Luis Suarez berada di pangkalan latihan Barcelona dan dia mengalirkan air mata sebaik sahaja meninggalkan pangkalan latihan Barcelona menjelang perpindahannya ke Atletico Madrid.

Pemain berusia 33 tahun itu dilihat mengesat air matanya ketika dia berada dalam keretanya selepas tempoh enam tahun dia bersama Catalan menemui titik noktah.

Bintang Uruguay itu mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya dalam skuad Barcelona dan dia berpindah ke Atletico menerusi potongan harga 3.7 juta pound (RM19 juta) yang telah disahkan oleh kelab Catalan itu.

Suarez meninggalkan Camp Nou sebagai penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman setelah meledakkan 198 gol dalam 283 penampilannya bersama kelab itu.

Sejak berpindah dari Liverpool, dia turut memenangi empat gelaran La Liga, empat trofi Copa del Rey dan Liga Juara-Juara serta Piala Dunia Kelab pada 2015.

Suarez dilihat mengalirkan air mata sewaktu dia memandu keluar keretanya meninggalkan pangkalan latihan Ciutat Esportiva Joan Gamper, dan perpindahan pemain itu bakal diumumkan secara rasmi, hari ini.

Dia dipaksa mencari pasukan baharu selepas bos baharu Barcelona, Ronald Koeman memaklumkan penyerang itu bahawa khidmatnya tidak diperlukan lagi.

Bagaimanapun, apa yang dirancang Suarez untuk berpindah ke Juventus tidak berjalan seperti mana yang diharapkannya apabila berdepan masalah permohonan pasport Itali.

Suarez layak untuk memohon pasport Itali kerana isterinya, Sofia Balbi mempunyai keturunan Itali, tetapi pemain itu terlebih dahulu perlu lulus ujian bahasa.

Bekas bintang Liverpool tersebut lulus ujian itu, tetapi Juventus kemudiannya membatalkan perjanjian dan terdapat dakwaan ada berlaku penipuan.

Bagaimanapun, Pengarah Juventus, Fabio Paratici mendakwa kelab Serie A itu tidak mempunyai masa mencukupi menyelesaikan isu pasport Suarez sebelum mendaftar namanya ke dalam skuad mereka.

Masalah tersebut telah menarik minat pesaing La Liga, Atletico dengan kelab itu menghantar Alvaro Morata ke Juventus secara pinjaman.

Suarez dijangka bersedia menerima potongan gaji dan menurunkan tandatangan untuk perjanjian selama dua tahun bersama skuad Diego Simeone itu.

Pemergian Suarez bakal membuka laluan kepada Memphis Depay kembali bersatu dengan bekas bos Belanda, Koeman di Barca sebagai penggantinya.

Difahamkan sebelum ini, Barcelona enggan menjual Suarez kepada Atletico. Namun, Los Rojiblancos secara tiba-tiba muncul sebagai pilihan utama selepas bekas bintang Ajax itu gagal berpindah ke Juventus. – The Sun UK – SM

(Visited 59 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button