Bola SepakSukan

KFA selesai tunggakan gaji skuad Lang Merah berperingkat

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) memberi jaminan akan melunaskan tunggakan gaji melibatkan skuad Liga Super Kedah secara berperingkat bermula dengan gaji bulan Mac yang bakal diselesaikan sebelum 15 Ogos ini.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan pengurusan KFA akan melunaskan tunggakan gaji bagi April hingga Julai setelah proses rundingan pembayaran diselesaikan dengan pemain dan pegawai skuad Lang Merah dalam masa terdekat.

“Sebuah Jawatankuasa Khas Kewangan mengenai penyelesaian tunggakan empat bulan itu akan dibentuk untuk mencari kaedah terbaik dalam ‘situasi menang-menang’ pihak persatuan dan pemain memandangkan Liga Super musim 2020 akan bersambung 26 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan KFA.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata KFA turut bersetuju mengekalkan pengurusan skuad Liga Super Kedah sehingga berakhir saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim ini, namun jumlah lantikan dalam pasukan akan dikaji semula bagi mengurangkan bajet pasukan berkenaan pada musim hadapan.

Skuad Lang Merah ketika ini terdiri dari 48 individu melibatkan pemain dan pegawai yang disifatkan KFA mendorong kepada peningkatan bajet pasukan tersebut, katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata Jawatankuasa Khas Kewangan yang akan dibentuk itu juga berfungsi untuk mendapatkan penajaan baharu, dengan mengadakan rundingan segera dengan bakal penaja.

Muhammad Sanusi berkata KFA memerlukan minimum RM25 juta untuk melengkapkan operasi dan pengurusan pasukan musim ini.

“Tindakan drastik penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan itu adalah bagi mengatasi beban hutang sejak September 2019. Jumlah tunggakan KWSP dan LHDN setakat ini adalah RM3.8 juta dan perlu diselesaikan segera,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata skuad Lang Merah akan mengadakan empat aksi pemanas badan di Selangor, Perak dan Alor Setar sebagai persiapan menghadapi saingan Liga-M yang akan kembali bersambung pada 26 Ogos ini.

Bagi memantapkan pengurusan skuad Lang Merah, Muhammad Sanusi berkata bekas pemain pasukan berkenaan, Muhammad Radhi Mat Din dilantik sebagai Pengerusi Pengurusan Pasukan.

Beliau berkata kesemua keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Eksekutif KFA kali kelapan penggal 2018-2022 yang berlangsung di Alor Setar, semalam.

Skuad Lang Merah kini menduduki tangga ketujuh daripada 12 pasukan dalam carta Liga Super menerusi kutipan empat mata selepas empat perlawanan. – BERNAMA

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button