Jenayah

Serbuan Al Jazeera: Tiada siapa terlepas jika langgar undang-undang

“Tiada individu ataupun entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan jika jelas mencabul undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia,”

Itu penegasan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed  berhubung serbuan yang dilakukan oleh pihaknya ke atas pejabat penyiaran berita antarabangsa Al Jazeera hari ini.

Menurut Huzir, serbuan yang dilakukan ke atas pejabat Al Jazeera adalah berlandaskan undang-undang negara.

Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia mempunyai waran dari Mahkamah Majsitret Kuala Lumpur dan Mahkamah Majistret Sepang untuk menggeledah tiga lokasi termasuk pejabat penyiaran berita Al Jazeera hari ini.

Selain Al Jazeera, polis turut menyerbu stesyen penyiaran Astro dan UnifiTV bagi menyiasat penyiaran dokumentari berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.

“Tindakan pelaksanaan waran geledah ini dilakukan bersama-sama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang turut membuka kertas siasatan ke atas stesen penyiaran terbabit,” kata Huzir dalam satu kenyataan.

Jelas beliau serbuan tersebut turut merampas komputer dan kesemua rampasan dihantar ke SKMM untuk analisa lanjut.

Selain itu, keterangan saksi-saksi lain turut diambil ketika serbuan dilaksanakan bagi membantu siasatan. Menurut Huzir segala hasil siasatan akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

Media hari ini melaporkan polis melakukan pemeriksaan mengejut ke atas pejabat stesen penyiaran antarabangsa Al Jazeera  hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menyiarkan berita fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.-SM
(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button