Ekonomi

Belanjawan 2021: Ambil kira kesusahan rakyat disebabkan Covid-19

Bidang perniagaan kian merudum, ramai hilang pekerjaan dan pendapatan

PEMBENTANGAN Belanjawan 2021 pada Jumaat ini perlu mengambil kira soal pandemik Covid-19 yang bukan sahaja mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara tetapi memberi impak yang besar ke atas sosio-ekonomi rakyat Malaysia.

Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berpendapat, golongan yang bekerja dalam bidang keusahawanan sebenarnya berhadapan dengan perniagaan atau bisnes yang kian merundum.

“Perniagaaan dalam bidang perkhidmatan pada hakikatnya hari ini, sudah hampir mati. Kita dimaklumkan perkhidmatan penerbangan komersial hampir gulung tikar dan ramai pekerja diberhentikan,” katanya kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Beliau berkata, pihak kerajaan perlu melihat rakyat iaitu golongan ibu bapa berhadapan dengan keresahan hilang pendapatan.

“Jika ibu bapa kehilangan punca pendapatan, keresahan turut dirasai oleh anak-anak yang hilang peluang pekerjaan. Apakah pula nasib yang bakal dihadapi oleh anak-anak yang masih belum menghabiskan pengajian mereka?


“Ini harus diambil kira dan perlu mencari apakah jalan keluar yang ada dan langkah-langkah yang boleh diambil mengenai perkara yang sangat meruncing ini,” katanya.

Dr. Fithri  menambah, kerajaan harus melihat simpanan  atau federal reserve mereka iaitu berapakah yang tinggal pada ketika ini dan  samada ianya mencukupi untuk menampung perbelanjaan rakyat.

“Kerajaan harus beri kelonggaran kepada rakyat agar dapat menggunakan wang simpanan KWSP pada ketika keadaan terdesak dengan alasan yang munasabah.

“Kerajaan juga harus memastikan sistem pendidikan berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan walau pun dalam keadaan Covid-19,” katanya.

Beliau juga berkata, dalam Belanjawan 2021, satu dasar kewangan yang membolehkan bebanan bayaran bulanan yang perlu rakyat lakukan perlu disediakan agar tidak membebankan rakyat serta lebih tersasar.

Bantuan keperluan makanan iaitu Food Security untuk rakyat, tegas Dr. Fithri, mesti dilancarkan. Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu menyediakan peluang latihan seperti skill upgrading.

“Peluang latihan tersebut adalah untuk golongan pekerja yang dibuang kerja akibat penutupan perniagaan.

“Apabila mereka ini mendapat latihan yang bersesuaian maka bolehlah diteruskan kehidupan tanpa kebergantungan sumber pendapatan yang tidak stabil,” ujar beliau.

Satu lagi pandangan Dr. Fithri ialah menutup pekerjaan kepada warga asing dan membukanya kepada warganegara.

“Jika ada juga yang mahu mengambil pekerja asing maka levinya hendaklah dinaikkan kecuali levi pembantu rumah,” katanya.

Baucer makanan atau Food Voucher untuk golongan B40 dan yang hilang pendapatan boleh diberi bagi membantu meringankan bebanan golongan tersebut, katanya.

“Mereka yang membuat pinjaman PTPTN pula, diberikan potongan 50 peratus dan pembayaran semula boleh dibuat 12 bulan selepas graduasi.

“Bagi pembayaran semula pinjaman untuk B40, bayaran maksimun yang dicadangkan adalah RM150 dan serendah RM50 sebulan,” kata Dr. Fithri. – SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button