JenayahNasional

Bekas polis direman 7 tahun, samun berkumpulan dan bersenjata

SEORANG bekas polis dipercayai terlibat dalam kes samun berkumpulan dan bersenjata terhadap seorang peniaga sayur di Melaka Sabtu lalu direman tujuh hari.

Berita Harian melaporkan, perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman bermula hari ini hingga Selasa depan mengikut Seksyen 117, Kanun Prosedur Jenayah.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit mengesahkan tangkapan suspek yang juga pengawal keselamatan itu untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

Katanya, suspek berusia 35 tahun ditahan dalam serbuan polis terhadap sebuah rumah di Tangga Batu, Tanjung Kling, 12 tengah hari semalam.

Christopher berkata, dalam kejadian pada Sabtu lalu, mangsa berusia 25 tahun baharu tiba di rumah dan sedang meletakkan keretanya di pakir kenderaan sebelum didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal.

“Seorang daripada lelaki itu tiba-tiba mengacukan pisau di leher mangsa dan mengarahkannya menyerahkan wang serta barangan berharga manakala seorang lagi suspek menunggu di pagar.

“Akibat ketakutan mangsa menyerahkan wang tunai RM400 dan telefon bimbit Vivo iQoo 11 bagi mengelak dicederakan suspek.

“Sejurus menerima laporan mangsa pukul 1 pagi hari kejadian, sepasukan pegawai dan anggota D9 IPD Melaka Tengah menggerakkan pasukan mengumpul risikan dan maklumat bagi menjejaki suspek,” katanya.

Christopher berkata, turut dirampas dua beg mengandungi dokumen milik suspek termasuk kad kerja di syarikat pengawal keselamatan, lesen memandu dan sebutir peluru serta empat telefon bimbit pelbagai jenama.

“Hasil siasatan suspek memiliki satu rekod jenayah mengikut Seksyen 86(1) Akta Polis dan masing-masing dua kes mengikut Seksyen 12(2) dan 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya memaklumkan mangsa kerugian kira-kira RM3,000.

Beliau berkata, siasatan awal suspek mengaku peluru itu miliknya dan disimpan selepas ditamatkan perkhidmatan polis pada 2016.

Katanya, polis juga giat mengesan seorang lagi rakan jenayah suspek yang masih bebas. – SM

BACA Samun bersenjata, dua termasuk wanita ditahan

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button