Nasional

Bekas pegawai bank jumpa sekutu Jho Low untuk mudahkan deposit ke akaun Najib

BEKAS Pengurus Perhubungan AmBank Krystle Yap Wy Sze memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau telah beberapa kali diarahkan untuk bertemu dengan sekutu Jho Low, atau Low Taek Jho (ahli perniagaan dalam buruan), iaitu Kee Kok Thiam untuk memudahkan deposit wang tunai ke pelbagai akaun milik Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014 dan 2015.

Bagaimanapun, Yap, 34, berkata beliau tidak tahu cara yang digunakan Kee untuk memudahkan deposit itu.

“Saya hanya mengikut arahan (Joanna) Yu untuk mempercepatkan urusan Kee dengan bank itu. Saya hanya mengaturkan seorang kakitangan cawangan untuk melayan beliau dengan segera. Senang cakap, pada asasnya saya hanya mengaturkan untuk beliau ‘memotong barisan’,” kata saksi kedua pembelaan semasa pemeriksaan utama oleh peguam Najib, Farhan Read.

Yap turut mengesahkan bahawa beliau bersama-sama dua lagi pengurus perhubungan AmBank yang lebih kanan iaitu Yu dan Daniel Lee telah mengendali akaun 694, 880, 906 dan 898 milik Najib serta akaun SRC International Sdn Bhd.

Akaun 906 dan 898 membentuk inti pati penting dalam tujuh pertuduhan yang dihadapi Najib iaitu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.

Yap juga memberitahu mahkamah bahawa seorang pegawai dari jabatan pematuhan bank itu telah meminta salinan ‘surat hadiah’ yang diterima oleh Yu berhubung beberapa deposit masuk asing yang dibuat ke akaun Najib.

Farhan kemudian merujuk saksi itu kepada beberapa dokumen dan Yap berkata ia adalah surat yang diberikan Yu kepadanya untuk disimpan pada 2015.

“Saya difahamkan bahawa kesemua ini adalah dokumen sokongan bagi kiriman wang masuk ke akaun Najib dari 2011 hingga 2014,” katanya.

Surat sokongan itu adalah bagi kiriman wang masuk ke akaun-akaun 694, 906, 898 dan 880 dari 2011 hingga 2014.

Farhan: Dalam pengetahuan awak, adakah mana-mana dana yang masuk ini telah ditandakan sebagai transaksi yang mencurigakan?

Yap: Tidak kerana ia diiringi dokumen sokongan.

Sebelum prosiding hari ini berakhir, seorang lagi peguam Najib iaitu Harvinderjit Singh telah memaklumkan mahkamah bahawa bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah, akan memberi keterangan sebagai saksi ketiga pembelaan esok.

Najib sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International  Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa membabitkan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. — BERNAMA

(Visited 478 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button