Jenayah

Bayar RM50 boleh bebas COVID-19

Aktiviti penipuan dibongkas Polis

HANYA dengan bayaran serendah RM50 sudah boleh mendapatkan dokumen ujian saringan COVID-19 yang mengesahkan seseorang itu bebas daripada sebarang jangkitan virus tersebut!

Semestinya bagi pekerja warganegara asing, surat itu sangat bermakna untuk mereka meneruskan sebarang aktiviti pekerjaan yang dilakukan sebelum ini.

Aktiviti penipuan itu bagaimanapun berjaya dibongkar selepas polis melakukan serbuan di dua premis di Jalan Alor, Kuala Lumpur, pada kira-kira pukul 5.40 petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua serbuan di lokasi yang sama itu berjaya menahan dua warga Bangladesh yang bekerja sebagai penjaga premis.

“Hasil siasatan awal polis mendapati, kaunter yang beroperasi di kaki lima di Jalan Alor itu telah beroperasi selama lebih kurang dua minggu.

“Waktu operasi bermula pukul 12 tengah hari sehingga 9 malam dan sasaran pelanggan dipercayai terdiri daripada warganegara asing,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mazlan, kedua-dua suspek itu bekerja dengan dua lelaki tempatan dengan anggaran gaji sebanyak RM1,500 dan RM1,700 sebulan.

Jelas beliau, selain daripada tangkapan, pihak polis turut merampas dua komputer riba, dua mesin pencetak, dua mesin laminator, beberapa surat berkaitan pengesahan ujian COVID-19 dan wang tunai berjumlah RM1,331.

Tambah Mazlan, kedua-dua suspek ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Seksyen 468 Kanun Keseksaan, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Untuk rekod, pemalsuan dokumen seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu melibatkan warganegara asing.

Malah, sebelum ini sudah beberapa kali aktiviti pemalsuan dokumen pekerjaan sementara, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), pasport dan sebagainya dilakukan. – SM

(Visited 88 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button