Ekonomi

Bank Rakyat untung bersih RM1.38 bilion, umum dividen 13%

KUMPULAN Bank Rakyat memperoleh keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.44 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 dan keuntungan bersih sebanyak RM1.38 bilion.

Prestasi kukuh Kumpulan itu dicapai melalui kekuatan asas dan fokus kepada aktiviti teras walaupun dalam keadaan persekitaran yang tidak menentu berlanjutan kesan daripada pandemik COVID-19 dan pasca moratorium.

Menurut Pengerusi Bank Rakyat Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar, prestasi kewangan tahun 2020 didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan walaupun terdapat sedikit penurunan dalam pendapatan pembiayaan berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang mengakibatkan kemampatan margin.

Katanya, peruntukan penjejasan yang lebih tinggi setelah mengambilkira potensi pembiayaan terjejas (NPF) mengakibatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat lebih rendah berbanding keuntungan tahun sebelumnya sebanyak RM1.83 bilion.

“Bagaimanapun, pendapatan operasi bersih Kumpulan meningkat 6.4% kepada RM3.41 bilion, daripada kos pendanaan yang lebih rendah hasil daripada pengurusan liabiliti yang berkesan dan pertumbuhan mampan Akaun Semasa dan Akaun Simpanan (CASA) sebanyak 25.5% kepada RM8.28 bilion berbanding RM6.60 bilion sebelumnya.

“Kumpulan berjaya mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan yang sihat di bawah 40.0%, lebih rendah daripada purata industri hasil daripada aktiviti pengurusan kos yang efektif,” katanya.

Bagi menghargai sokongan Bank Rakyat turut mengumumkan pembayaran dividen 13% dengan jumlah anggaran sebanyak RM373.36 juta kepada semua anggotanya untuk tahun 2020.

Menurutnya, Kumpulan Bank Rakyat berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Bank Koperasi yang paling tinggi keuntungannya dan institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia.

Sementara itu, jumlah aset Kumpulan itu turut meningkat 1.8% atau RM1.95 bilion kepada RM111.75 bilion berbanding RM109.80 bilion sebelumnya.

Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh pertumbuhan baki pembiayaan sebanyak 6.9% tetapi dinormalisasi oleh aset perbendaharaan yang lebih rendah selaras dengan langkah-langkah pengurusan liabiliti aset yang berkesan sepanjang tahun.

Pulangan Atas Aset (ROA) kekal sihat pada 1.30%, setara dengan ROA industri perbankan domestik.

Kayanya, pertumbuhan baki pembiayaan bersih sebanyak 6.9% atau RM4.89 bilion kepada RM76.08 bilion daripada tahun lalu disumbangkan oleh pembayaran balik yang lebih rendah semasa penawaran moratorium enam bulan.

Walaubagaimanapun, Kumpulan Bank Rakyat menjalankan inisiatif strategik jangka panjang dalam mempelbagaikan portfolio, yang menghasilkan pertumbuhan pembiayaan perumahan runcit yang kukuh sebanyak 11.7% kepada RM6.89 bilion dari RM6.18 bilion berserta segmen Ar-Rahnu sebanyak 12.9% kepada RM2.20 bilion dari RM1.94 bilion, sebelumnya.

Di samping itu, segmen komersial mencatatkan kenaikan lebih tinggi sebanyak 21.2% kepada RM5.80 bilion dari RM4.79 bilion sejajar dengan rancangan jangka panjang Kumpulan untuk menyokong segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (“SME”).

“Walaupun dalam keadaan tahun yang tidak menentu, nisbah kualiti aset Kumpulan kekal sihat dengan kadar pembiayaan terjejas kasar sebanyak 1.94%, berbanding 1.93% sebelumnya,” katanya.-SM

 

 

 

 

(Visited 932 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button