Ekonomi

Bank Rakyat tambah baik ciri platform digital QR2E

BANK RAKYAT telah menambah baik platform perbankan digital sedia adanya, QR2E (Quick Response to Entrepreneur) bagi menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan perbankan termasuk gerbang pembayaran (payment gateway) dengan lebih cepat, selamat dan mudah kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta koperasi.

Melalui inisiatif ini, urusan pembayaran dan permohonan pembiayaan akan menjadi lebih pantas dan mudah kerana kedua-dua urusan ini boleh dilakukan menerusi satu gerbang perkhidmatan QR2E iaitu portal eBiz Suite.

Baca artikel ini > QR2E, aplikasi dari Bank Rakyat yang membantu golongan usahawan

Antara produk dan perkhidmatan Bank Rakyat yang ditawarkan menerusi portal eBiz Suite termasuk, perbankan Internet korporat i-bizRAKYAT, pengebil JomPAY, ejen bank (Rakyat Care), terminal ‘point of sale’ (POS) pedagang, Pembiayaan Mikro-i dan Pembiayaan Perniagaan-i. Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan khidmat nasihat dari aspek kewangan dan pengurusan perniagaan serta membuat janji temu di lokasi yang dipilih oleh pelanggan. Portal ini boleh diakses melalui imbasan kod QR2E atau pautan www.qr2e.bankrakyat.com.my

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman, penambahbaikan digital ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bank Rakyat dalam mempertingkatkan pengalaman pelanggan terbaik dan produktiviti Bank dengan menyediakan akses yang lebih baik kepada perkhidmatan dalam talian bagi merealisasikan matlamatnya sebagai bank koperasi dan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) berlandaskan Syariah.


Baca artikel ini > Bank Rakyat lancar “BRICK”

“Inisiatif ini juga melambangkan komitmen Bank Rakyat untuk menyediakan bantuan kewangan kepada golongan usahawan yang memerlukan dengan mempermudah dan mempercepat proses permohonan dan kelulusan pembiayaan lebih-lebih lagi dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.”

“Bank Rakyat akan terus memberi keutamaan dalam menyesuaikan capaian platform kepada tawaran produk dan perkhidmatan Bank dengan keperluan pelanggan serta persekitaran yang berubah-ubah di samping memastikan urusan perbankan yang lancar di semua peringkat sama ada secara fizikal mahupun dalam talian,” tambah Dr. Mohammad Hanis.

Untuk sebarang pertanyaan, sila kunjungi mana-mana cawangan terdekat atau hubungi Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454. – SM

 

 

 

(Visited 79 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button