fbpx
Ekonomi

Perbelanjaan modal tinggi bukan penghalang pelaksanaan 5G – Nokia

PERBELANJAAN modal (capex) yang tinggi diperlukan untuk pelaksanaan rangkaian generasi kelima (5G) tidak boleh dilihat sebagai halangan kerana kajian menunjukkan bahawa pelaburan dalam telekomunikasi akan menghasilkan kesan penggandaan dalam ekonomi kepada negara.

Ketua Nokia di Malaysia, Datuk Siva Shanmugam berkata beliau mengharapkan kitaran pelaburan yang baik untuk 5G, dengan pengendali terus mengemaskini rangkaian sedia ada mereka untuk mengurangkan masalah dan kos.

“Ini akan diikuti oleh pelaburan seterusnya oleh pelanggan perusahaan dalam teknologi tanpa wayar persendirian,” katanya kepada BERNAMA dalam satu temubual di sini.

Sebagai contoh, India mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.3 peratus pada 2018 berikutan pelaburan dalam telekomunikasi yang meningkat 10 peratus, katanya.

Bagi ekonomi berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia, kajian Bank Dunia terhadap jalur lebar talian tetap merekodkan peningkatan 10 peratus dalam penembusan jalur lebar akan menghasilkan 1.38 mata peratusan tambahan dalam pertumbuhan KDNK.


“5G bukan hanya bermaksud generasi seterusnya, ia adalah reka bentuk semula seni bina rangkaian yang lengkap, menghasilkan kelajuan dan kapasiti lebih tinggi, masa pegun yang rendah dan kebolehpercayaan.

“Ia akan memberikan model perniagaan baharu dan mempercepatkan transformasi digital. Pendigitalan keseluruhan ekosistem dapat dilakukan dengan pantas, justeru membuktikan hasil diperoleh menerusi pelaburan dalam teknologi,” katanya.

Siva berkata penyediaan 5G oleh Nokia akan membuka pertumbuhan ekonomi, kemakmuran, dan peluang untuk negara dan rakyat Malaysia.

Laporan pasaran telah menjangkakan bahawa penggunaan data mudah alih di Malaysia akan meningkat dua kali ganda antara tahun 2017 hingga 2022 kepada 10.4 gigabait (GB) bagi seorang pengguna sebulan didorong oleh pertambahan penggunaan kandungan video dalam talian pada telefon pintar, oleh itu ia sambungan lebih pantas diperlukan untuk pengguna.

Menerusi 5G, pelanggan akan mengalami kelajuan data yang lebih laju dan kesalinghubungan yang boleh dipercayai, dan memperoleh akses kepada pelbagai perkhidmatan termasuk ‘augmented reality’, realiti maya, dan permainan mudah alih seterusnya ia akan mendorong industri baharu di Malaysia.

Mengenai segmen perusahaan, Siva berkata Malaysia sedang menuju ekonomi digital “Malaysia 5.0” yang baharu dan 5G dapat menjadi batu loncatan untuk transformasi digital ini dengan membolehkan penggunaan Industri 4.0 dan meningkatkan produktiviti di pelabuhan, sektor minyak dan gas dan kilang.

“5G akan membantu mendorong Malaysia mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya.

Nokia turut serta dalam usaha kerajaan mempromosikan 5G di Malaysia pada April 2019. Acara itu menampilkan lapan sektor yang dapat memanfaatkan teknologi 5G, iaitu penjagaan kesihatan, media dan hiburan, bandar pintar, automotif, pembuatan, keselamatan awam, pertanian dan pendidikan.

Nokia juga aktif mempromosikan 5G di Malaysia dengan melakukan jerayawara (roadshow) di beberapa negeri terpilih, jerayawara itu penting untuk merangsang pertumbuhan yang signifikan dan holistik untuk aplikasi 5G di negara ini dan mencipta kaedah segar dan inovatif untuk meneroka peluang perniagaan baharu dan merapatkan jurang sosio-ekonomi.

Nokia adalah peneraju global dalam 5G, dengan 152 libat sama komersial 5G dengan pelanggan di seluruh dunia dan 85 perjanjian 5G komersial di pasaran utama di seluruh dunia, termasuk 33 dalam rangkaian secara langsung.

— BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button