Ekonomi

QR2E, aplikasi dari Bank Rakyat yang membantu golongan usahawan

BANK Rakyat memperkenalkan perkhidmatan perbankan digital khusus untuk golongan usahawan yang dikenali sebagai QR2E (Quick Response to Entrepreneur).

QR2E merupakan satu lagi inisiatif terbaharu Bank Rakyat dalam membudayakan keusahawanan serta membantu komuniti yang kurang (underserved) dan tidak (unserved) mendapat perhatian untuk menceburi sektor keusahawanan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif itu merupakan satu daripada pendorong dalam mencapai matlamat menjadi negara keusahawanan sepenuhnya menjelang tahun 2030.

“Tindakan ini selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) sekali gus menjadikan industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi Rangka Tindakan Digitalisasi yang terkandung dalam Pelan Strategik Bank Rakyat 2025 (BR25).

“Seiring dengan era digitalisasi, Bank Rakyat sentiasa progresif dalam memanfaatkan teknologi bagi memastikan Bank terus kekal relevan serta lestari bagi memenuhi keperluan perbankan Islam milenial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata pembinaan QR2E ini amat bersesuaian dengan kehendak situasi masa kini serta penerapan norma baharu apabila segalanya dihujung jari pelanggan tanpa perlu hadir secara fizikal.

Ujarnya, QR2E merupakan medium untuk Bank Rakyat mendekati usahawan di seluruh negara tanpa sempadan secara komprehensif, mudah dan cepat.

“QR2E akan memudahkan urusan usahawan mikro, PKS serta koperasi untuk mendapatkan khidmat nasihat dari aspek kewangan serta pengurusan perniagaan,” katanya.

Pelanggan boleh memohon pembiayaan serta membuat janji temu di lokasi yang dipilih oleh pelanggan.

Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat SMEC secara maya, anda hanya perlu mengimbas kod QR2E atau layari pautan https://Qr2e.bankrakyat.com.my .

Dalam pada itu, Bank Rakyat juga telah memperkenalkan Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Koperasi (SME & Cooperatives Business Centre, SMEC) serta Program Rintis Rakyatpreneur yang menawarkan kemudahan untuk golongan usahawan membina serta menguruskan perniagaan. -SM

(Visited 786 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button