Nasional

Bank Rakyat beri sumbangan kepada Mohamad Nor Atho’ullah

BANK Rakyat menghulurkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Mohamad Nor Atho’ullah, kanak-kanak yang kehilangan bapanya akibat Covid-19.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar berkata, sumbangan itu dihulurkan menerusi Surau Al-Barakah.

“Sumbangan ikhlas ini adalah bagi mengurangkan bebanan yang dirasai keluarga adik Mohamad Nor Atho’ullah dan diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka meneruskan kehidupan harian,” katanya.

Sumbangan itu disampaikan Abdul Rani dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku wakil Menteri Kesihatan.

Sebelum ini, video Mohamad Nor Atho’ullah tular di media sosial selepas bapanya Allahyarham Mohamad Kamil Ghazali meninggal dunia ketika dia dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS, Serdang.


Allahyarham Mohamad Kamil yang juga menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang dirawat di Hospital Sungai Buloh sebelum meninggal dunia dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 15 Januari lalu.

Sementara itu, Mohamad Nor Atho’ullah bersama ibunya, Norazah Aziz, dan lima lagi adik-beradiknya yang dirawat di PKRC MAEPS sebelum ini telah sembuh dan dibenarkan pulang.

“Norazah dan arwah suaminya sebelum ini menyara keluarga mereka dengan berniaga di stesen minyak sekitar Kajang dan Cyberjaya.

“Oleh itu, sumbangan ini juga diharap dapat membantu Norazah untuk menjalankan perniagaannya semula dan menambah pendapatan keluarga serta bergelar usahawan,” kata Datuk Syed Abdul Aziz.

Semasa majlis penyerahan itu juga, bantuan bencana banjir sebanyak RM30,000 diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Sumbangan itu adalah sebahagian daripada peruntukan dana RM500,000 yang disediakan oleh Bank Rakyat untuk membantu mangsa banjir di beberapa negeri yang terjejas di seluruh negara.

Inisiatif ini adalah bertepatan dengan saranan Wan Junaidi dalam menggerakkan semua agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dan terus membantu golongan yang memerlukan termasuk komuniti yang terjejas akibat banjir yang melanda negara.

Sebelum ini, Bank Rakyat telah mengagihkan sumbangan sebanyak RM120,000 kepada empat negeri yang terjejas akibat banjir termasuk Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor menerusi Yayasan Al-Sultan Abdullah, Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor. -SM

(Visited 280 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button