fbpx
Nasional

Zakir beri 48 jam kepada MP DAP

Pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik menghantar notis guaman kepada anggota parlimen DAP, Charles Santiago berhubung kenyataan yang mengaitkan beliau dengan penahanan sekumpulan individu yang dikaitkan dengan cubaan menghidupkan semula Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pendakwah kelahiran India yang merupakan penduduk tetap Malaysia itu, memberi tempoh 48 jam kepada anggota parlimen berkenaan untuk menarik balik kenyataan beliau, atau jika gagal berdepan tindakan undang-undang,

Notis itu, dihantar melalui firma guaman Tetuan Akberdin & Co, menuntut Charles:

– Mengaku menyebabkan liabiliti dan menarik balik dakwaan.

– Segera menggugurkan semua fitnah, tuduhan palsu dan/atau tidak benar, dakwaan dan/atau tuduhan mengelirukan mengenai kenyataan terhadap Zakir terutama di media sosial dan / atau di laman web.

– Segera menghentikan dan berhenti daripada menerbitkan dan / atau menyebabkan untuk diterbitkan semua dan / atau mana-mana fitnah, palsu, tidak benar dan / atau dakwaan mengelirukan terhadap Zakir

– Dalam tempoh 48 jam dari tarikh penerimaan surat ini, menerbitkan dan / atau menyiarkan permohonan maaf yang dihantar dengan pos, dimuat naik dan / atau diterbitkan di media sosial kamu dan / atau laman web.

– Dalam tempoh 48 jam dari tarikh penerimaan surat ini, membuat tawaran sejumlah wang yang munasabah sebagai penyelesaian untuk Zakir atas kerugian, rasa malu, penghinaan dan / atau kehinaan ke atasnya akibat daripada kenyataan fitnah.

Menurut notis itu, Santiago dituduh membuat kenyataan fitnah berkenaan ketika bercakap dalam satu acara di Kuala Lumpur pada 25 Nov.

Ia menambah kenyataan itu kemudiannya dilaporkan oleh sebuah portal berita dengan tajuk, “Criticism of Zakir may have led to LTTE arrests.”

Notis guaman itu berkata, kenyataan Santiago, yang mendakwa 12 individu itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 sebagai membalas dendam kepada kritikan terhadap Zakir, didorong oleh niat jahat dan kebencian.

Kenyataan yang digambarkan surat berkenaan sebagai rekaan, dikatakan telah memusnahkan reputasi Zakir dan menyebabkan beliau mengalami penghinaan dan cemuhan.

Dalam tulisan di Facebook, Charles berkata peguamnya sedang mengkaji kandungan notis berkenaan untuk membincangkan tindakan lanjut.

Sementara itu, polis menaggil penyelaras Suaram Amir Abd Hadi, yang menjadi pemudahcara pada forum bertajuk “The LTTE conundrum and SOSMA as a draconian law” untuk disoal siasat.

Bulan lalu, Zakir menyaman Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy kerana fitnah.

Pada Ogos, penceramah itu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa India, menghantar notis guaman kepada Charles, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, bekas duta Dennis Ignatius dan anggota parlimen DAP, Satees Muniandy.

Show More

Related Articles

Back to top button