Berita

Banjir: Alumni 4B Malaysia peruntuk RM500,000

MELAKA 12 Jan. – Alumni 4B Malaysia terus menggerakan bantuan untuk membantu mangsa banjir yang teruk terjejas di Selangor, Melaka dan Pahang.

Presidennya, Datuk Syed Azmi Syed Nazir Ahmad berkata, bagi tujuan meringankan beban ke semua mangsa banjir yang terlibat pihaknya memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mangsa di negeri yang terjejas teruk akibat musibah itu.

Menurutnya, pihaknya bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), individu serta beberapa tokoh korporat serta syarikat-syarikat swasta yang prihatin untuk membantu meringankan beban mangsa banjir.

“Peruntukan itu digunakan untuk menyalurkan bantuan barangan makanan dan wang tunai, keperluan asas antaranya selimut, pek kebersihan, kelengkapan solat, mesin penyembur air dan barangan elektrik.

“Setakat ini, seramai lebih 1,000 mangsa banjir telah menerima bantuan yang bukan sahaja dalam bentuk barangan makanan tetapi juga barangan elektrik seperti dapur, mesin basuh dan mesin penyembur air,” ujarnya di Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Kampung Morten di sini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan barangan makanan dan alat pembersihan rumah kepada mangsa
banjir di enam kawasan Parlimen di negeri ini membabitkan seramai 350 mangsa. Di samping itu beliau turut melancarkan skuad Pasca Banjir Melaka.

Yang turut hadir Naib Presiden Angkasa, Datuk Kamaruddin Ismail; Pengerusi Alumni negeri yang juga Naib Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Hasan Rahman dan Naib Pengerusi negeri, Datuk Sazali Muhd. Din.

Syed Azmi berkata, setakat ini bantuan telah agih-agihkan kepada mangsa banjir di Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka manakala Pahang serta Johor akan bermula minggu depan.

Ujarnya, usaha pihaknya yang sedikit ini diharap dapat meringankan beban ditanggung mangsa banjir yang
terlibat.

Syed Azmi berkata, minggu depan pihaknya akan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang melibatkan empat kawasan iaitu di Maran, Bera, Bentong dan Kuantan.

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button