Nasional

Atlet Terunggul Sepanjang Zaman, Nicol kebanggaan negara – PM

Kejayaan Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David yang dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia semalam begitu membanggakan negara.

Bagi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin, kemenangan tersebut diharapkan dapat menjadi motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam apa juga bidang yang diceburi.

“Tahniah Nicol. Anda kebanggaan negara. Saya ingin berkongsi rasa bangga bersama seluruh peminat sukan tanah air, khususnya skuasy atas kejayaan bekas Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David yang baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia semalam.

“Kemenangan itu membuktikan sumbangan, keringat dan aksi beliau selama ini terus diperhatikan dunia walaupun bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu telah menggantung raket,” kata Muhyiddin.

Perdana Menteri berharap kejayaan Nicol akan menjadi pembakar semangat kepada generasi muda yang baru berjinak-jinak dengan sukan tersebut dan pemain pelapis yang sedang mengembangkan prestasi untuk melangkah lebih jauh.


Katanya, dengan iltizam yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh tidak mustahil semua rakyat Malaysia mampu menjadi Ratu Skuasy Negara

“Tahniah Nicol, Syabas Malaysia,” kata Muhyiddin.

Nicol diiktiraf sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman selepas memperoleh undian tertinggi.

Pengiktirafan itu diberikan oleh The World Games selepas Nicol berjaya memperoleh 318,943 undian mengalahkan 23 pesaingnya yang lain.

Nicol merupakan satu-satunya atlet di Asia yang tercalon untuk merebut gelaran Atlet Terunggu Sepanjang Zaman itu.

Nicol memegang rekod pemain paling lama yang menghuni ranking nombor satu dunia iaitu selama sembilan tahun sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily pada 2015.

Beliau mengecapi kesemua kejuaraan termasuk lapan kali bergelar juara dunia selain lima pingat emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah PSA.

Nicol bersara daripada dunia skuasy pada Jun 2019 selepas berkecimpung dalam dunia sukan itu selama 27 tahun.

Beliau bermain skuasy seawal lima tahun dan memulakan karier sebagai pemain pada 1992 apabila merangkul pingat perak dalam Kejohanan Remaja Pulau Pinang.

Beliau merangkul gelaran dunia pertama tujuh tahun kemudian pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium ketika berusia 15 tahun.

Kejayaannya itu meletakkan dirinya sebagai juara remaja dunia wanita termuda dalam sejarah dan kemudiannya menjulang gelaran dunia pada 2005 sekali gus meletakkannya di ranking pertama dunia buat kali pertama pada Januari 2006 ketika berusia 23 tahun dan rakyat Malaysia dan Asia pertama berada di kedudukan nombor satu dunia.

Selama 112 bulan berada di kedudukan pertama dunia, Nicol yang dikenali dengan panggilan Duracell Bunny disebabkan kelincahan pemain berfizikal kecil itu bagaimanapun menghadapi kesukaran kebelakangan in.

Kemuncaknya apabila terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama tahun 2018 apabila berdepan saingan pemain lebih muda.-SM

 

(Visited 117 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button