Pena Cikgu Kamarul

Apakah Malaysia sudah bersedia mengadakan peperiksaan SPM secara online?

1. Ketika wabak Covid-19 tidak menunjukkan sebarang tanda untuk tamat, kebimbangan ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak menjadi bertambah ketara. Terbaru sekolah hanya menerima pelajar tingkatan 5 yang mana akan menduduki peperiksaan SPM yang telah lama tertangguh. Melihat kepada situasi yang jelas tidak memberi sebarang jaminan, perbahasan dan cadangan mengadakan peperiksaan awam secara atas talian (online) mula kedengaran. Apakah kita mampu dan bersedia mengadakan Peperiksaan SPM secara buka buku dan atas talian?

2. Beberapa buah negara telah mengadakan peperiksaan yang penting secara atas talian. Sebagai contohnya Saudi Arabia, telah buat pertama kalinya mengadakan Standard Achievement Assessment Test (SAAT) secara online. Beberapa buah universiti di Eropah turut mengadakan peperiksaan akhir tahun mereka secara atas talian. The London Imperial College telah mengadakan peperiksaan buka buku dan atas talian dalam kadar waktu yang ditetapkan. Begitu juga Universiti Amserdam di Belanda.

3. Apakah kita mampu dan sudah bersedia untuk mengadakan SPM atau mana-mana peperiksaan secara atas talian? Ada banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum ia hendak dilaksanakan. Antara faktor yang perlu difikirkan ialah :

I. Calon perlulah memiliki alat elektronik seperti tablet, komputer riba dan desktop yang dilengkapi dengan perisian bagi tujuan penyampaian peperiksaan. Malangnya seperti kebanyakan negara di Asia, Malaysia belum berjaya memastikan bahawa setiap pelajar mempunyai alat elektronik yang baik dan sempurna.

ii. Isi pentaksiran perlulah bersesuaian dengan kaedah peperiksaan secara atas talian. Ini adalah kritikal bagi memastikan bahawa calon dapat mengakses teks, graf, carta dan gambar rajah dengan mudah. Adalah penting calon diuji dengan isi yang hendak ditaksir dan bukannya keterbiasaan calon dengan perisian atau alat elektronik tertentu yang digunakan.

iii. Kita juga perlu pertimbangkan kaedah yang sesuai dalam melaksanakan pengawasan semasa peperiksaan sedang dijalankan. Pengawasan secara kawalan jarak jauh perlu difikirkan bagi mengelakkan sebarang perbuatan tidak amanah ketika peperiksaan sedang dijalankan.
Di sesetengah negara, terdapat perisian pemantauan yang boleh mengakses kepada kamera web, alat pembesar suara, penyemak imbas aktif, termasuklah papan kekunci dan tetikus bagi mengesan dan mengawasi sebarang tingkah laku calon yang tidak amanah lagi mencurigakan.

iv. Memandangkan bahawa isi keluarga Malaysia yang agak tinggi, terdapat banyak keterbatasan menyediakan ruang dan suasana yang kondusif untuk pelajar menduduki peperiksaan secara atas talian. Malahan ramai ahli keluarga yang berkongsi alat elektronik yang sama.

v. Kebanyakan kawasan juga mempunyai talian internet yang buruk. Apakah jaminan bahawa talian ini tidak runtuh semasa peperiksaan sedang dijalankan? Kerosakan perisian boleh berlaku pada bila-bila masa.

vi. Sebagai seorang guru yang berpengalaman luas dalam pembinaan item peperiksaan, saya berpandangan bahawa pembentukan item dalam pelaksanaan format yang baru perlu dinilai, disesuai dan diuji terlebih dahulu sebelum dilaksanakan sepenuhnya. Ini antara lain adalah bagi memastikan bahawa setiap calon, baik di bandar mahupun di luar bandar akan mempunyai peluang yang sama ketika menjawab item-item peperiksaan yang diajukan.

4. Suka atau tidak, kita tidak dapat mengelak daripada menjalankan peperiksaan secara atas talian pada masa akan datang. Adalah lebih baik kita bersedia dari sekarang kerana kemajuan tidak akan dicapai tanpa perubahan.

(Visited 572 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button