Pena Cikgu Kamarul

Kalimah Allah memilih jalan yang betul, destinasi salah

KEPUTUSAN yang buruk walaupun ia tercetus dari niat yang baik tetap akan dikenang dalam sejarah sebagai keputusan yang buruk. Malangnya, sejak merdeka, banyak niat baik dan tolak ansur bangsa Melayu telah memakan diri sendiri.

Isu kalimah Allah sekali lagi menjadi perdebatan dalam kalangan masyarakat apabila Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa penganut Kristian di negara ini juga boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Bagi membahas isu ini, saya mengutarakan dua persoalan penting. Pertama, apakah sebab yang mendorong golongan bukan beragama Islam ini berkeras untuk menggunakan kalimah Allah? Kedua, apakah ‘the end product’ atau matlamat yang hendak dicapai daripada implementasi undang-undang ini?

Sebagai seorang guru Bahasa, saya tahu bagaimana hanya dengan satu perkataan boleh merobah maksud yang hendak disampaikan. Saya menjadi teramat bimbang. Berlainan dengan negara-negara lain di dunia, penggunaan kalimah ‘Allah’ di Semenanjung Malaysia adalah agak unik kerana sejak dahulu hingga kini perkataan ‘Allah’ merujuk kepada Tuhan bagi agama Islam.

Ia merupakan kata nama khas dan bukannya kata nama am seperti negara lain termasuk di dunia Arab dan Indonesia. Teringat semasa kecil, apabila sesiapa menyebut ‘Tuhan’ pasti akan ada yang MEMBETULKAN dengan mengatakan “Allah”.

Dalam masyarakat Melayu ‘Allah’ itu sudah melekat dalam sanubari sebagai Tuhan yang satu yang disembah oleh umat Islam. Sebagai contohnya jika golongan Kristian menggunakan ayat “Isa itu anak Tuhan” dan “Isa itu anak Allah”, ia membawa implikasi maksud yang amat berbeda di Semenanjung Malaysia.

Mengapakah golongan Kristian ini begitu mahu menggunakan kalimah ‘Allah’ ? Adakah perkataan ‘Tuhan’ tidak memadai?

Bukankah mereka antara yang menentang keras pengajaran tulisan jawi di sekolah jenis kebangsaan tidak lama dulu dengan alasan jawi merupakan tulisan Arab yang digunakan dalam Al Quran dan akan mendorong anak mereka kepada Islam?

Begitu keras sekali tentangan mereka sedangkan jawi itu hanya tulisan sedangkan kalimah Allah itu akan melibatkan akidah. Dengan itu bolehlah kita rumuskan bahawa tujuan sebenar mereka ini hanyalah untuk mengelirukan orang-orang Islam terutamanya kanak-kanak. Dan saya amat bimbang apabila ada unsur ‘keliru’ dalam diskusi agama.

Jika mereka tidak boleh menerima tulisan jawi dahulu dengan alasan ia menjurus kepada bahasa Arab, maka adalah lebih baik mereka menggunakan bahasa Inggeris sahaja seperti ‘God’ dan ‘Lord’.

Kadang-kadang kita memilih jalan yang betul untuk sampai ke destinasi yang salah.

Tulisan jawi, kalimah Allah dan apa pula selepas ini?

Sampai bila? – SM

(Visited 546 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button